Skip to main
Logo Malaysiakini

Sesi soal jawab PM selangkah ke hadapan, tapi perlu pengisian

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sesi soal jawab perdana menteri (PMQ) yang dicadangkan di Dewan Rakyat perlu dilaksanakan dengan proses yang betul bagi memastikan sesi itu substantif, kata pakar.

Penyelidik Hal Ehwal Parlimen, Maha Balakrishnan berkata sesi itu, seperti yang diamalkan di Parlimen Britain membenarkan ahli parlimen mendengar terus daripada perdana menteri mengenai dasar-dasar negara.

Bagaimanapun, sesi itu sering digunakan oleh perdana menteri dan ahli parlimen Britain untuk meraih populariti politik, yang membawa kepada perbincangan tanpa pengisian.

"Sudah tentu tidak realistik untuk mengharapkan seorang perdana menteri mengetahui butiran setiap dasar dan program kerajaan, maka selalunya perbincangan semasa PMQ di Dewan Rakyat United Kingdom (UK) adalah cetek.

"Jadi saya mengesyorkan tidak seperti UK, soalan yang akan dikemukakan kepada perdana menteri hendaklah dihantar ke Dewan Rakyat sekurang-kurangnya sehari lebih awal," kata Maha kepada Malaysiakini.

Dengan sistem sebegitu, kata Maha, perdana menteri dijangka memberikan maklum balas yang substantif dan bukan hanya berunsur politik.

"Ahli parlimen yang bertanya soalan itu juga sepatutnya boleh bertanya kepada perdana menteri soalan susulan berkaitan, yang mana amalan sekarang dengan menteri kabinet.

"Ini akan memastikan bahawa perdana menteri tidak bergantung sepenuhnya pada jawapan bertulis," katanya.

Menurut laporan Bernama semalam, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata sesi PMQ akan menjalani fasa ujian rintis apabila Dewan Rakyat bersidang minggu depan.

Menurutnya, sesi PMQ akan berlangsung pada Selasa manakala sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) akan berlangsung pada Khamis.

"Ini antara pembaharuan yang akan dilaksanakan, tetapi ia belum boleh dibuat sebagai sesi biasa lagi, kita akan mulakan sebagai ujian rintis terlebih dahulu supaya kita dapat mengenal pasti masalah yang mungkin timbul," katanya.

Di UK, sesi PMQ berlangsung setiap hari Rabu apabila Dewan Rakyat bersidang dan berlangsung selama setengah jam.

Ia adalah peristiwa yang sangat diperhatikan kerana perdana menteri Britain perlu menjawab soalan yang diajukan secara spontan oleh ahli parlimen.

Penganalisis politik Wong Chin Huat berkata jika sesi PMQ dibentuk berdasarkan sistem British, ia boleh menghantar mesej jelas kepada seluruh sistem politik dan orang ramai bahawa kerajaan dan perdana menteri bersedia untuk dipertanggungjawabkan.

"Ini akan membolehkan parlimen dan orang ramai mempertanggungjawabkan perdana menteri. Ia akan menjadi sorotan mingguan setiap kali parlimen bersidang," katanya.

Bagaimanapun, ketua pembangkang perlu memainkan peranan bagi memastikan sesi PMQ berkesan.

"Orang ramai mahukan lebih banyak isi dan jawapan cerdas berbanding mendabik dada dan ejek mengejek. Ini akan meransang persaingan dasar yang amat kita perlukan," kata Wong, yang juga seorang profesor di Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan universiti (SDSN) Asia.

Sementara itu Anggota Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata dia menyokong cadangan itu kerana terdapat dakwaan sebelum ini bahawa perdana menteri enggan menjawab soalan ahli parlimen.

"Dengan adanya sesi PMQ, isu berkaitan dasar kerajaan dapat dirungkai dengan lebih cekap.

"Jawapan perdana menteri akan diambil sebagai dasar kerajaan dan ia akan mempercepatkan tindakan yang diambil oleh agensi kerajaan," katanya.

Sementara itu, Maha turut mengesyorkan speaker mempertimbangkan untuk membenarkan orang ramai mengemukakan soalan semasa sesi PMQ.

"Speaker harus mempertimbangkan pendekatan baru. Tidak sepatutnya sukar bagi Dewan Rakyat untuk menyediakan proses penyerahan (soalan) secara dalam talian untuk orang ramai.

"Mungkin satu soalan boleh dipilih setiap minggu," katanya.