Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar gesa pemuda agar tidak terpengaruh tafsiran sempit Islam

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menggesa anak muda Islam di negara ini supaya tidak terpengaruh dengan cara sesetengah individu atau pihak mentafsir Islam.

Dalam syarahan khasnya di Universiti Selangor, Anwar mengingatkan anak muda bahawa Islam sentiasa meletakkan nilai keamanan, keadilan dan kemanusiaan mengatasi sebarang sentimen perkauman dan kepartian.

"Tapi kita juga diperingatkan dalam karya Syed Naquib Al Attas yang juga disinggung dalam karya Siddiq (Fadzil).

"Kalau kita bicara soal Melayu dengan sentimen kaum yang menebal, dan tidak mendasarinya kepada nilai dan akhlak Islam, maka ia pasti akan menjurus kepada chauvinisme.

"Ini yang disebut oleh Naqib Al Attas dan ini sering kali berlaku, sebab itu dalam guiding idea-idea ini, kerangka pemikiran besar Siddiq Fadzi.

“Dia mahu supaya pemahaman Islam di kalangan anak muda itu tidak terpengaruh dgn penafsiran peribadi, dan kelompok atau parti yang kemudian melanggar atau bercanggah dengan kerangka kemanusiaan dan universal, Rahmatan lil alamin yang dibawa oleh Islam.

"Kekuatan Islam menurut Siddiq Fadzil, keupayaannya diangkat sebagai satu tamadun masyarakat atau negara madani dan kemudian tamadun, itu justeru kerana mesej kemanusiaan, mesej universal, dan mesej yang tertegak pada dasar keyakinan, keadilan dan kemanusiaan," katanya.

Anwar dijemput berucap oleh pihak universiti di bawah program “Syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil: Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia.”

Syarahan itu dinamakan sempena nama seorang pemimpin Islam terkemuka yang pernah mengetuai Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan juga merupakan rakan karib Anwar.

Mengulas lanjut, perdana menteri berkata walaupun perkara biasa bagi anak muda memiliki sentimen yang kuat tentang bangsa dan agama mereka namun ia mesti berdasarkan panduan Islam.

"Dan dia juga mengikuti perkembangan pemikiran semasa gerakan-gerakan Islam, dan di antara kupasan ialah kerana minat kita terhadap agama atau bangsa kadang-kadang itu meluap-luap.

"Kadang ada baiknya. Kalau orang muda tidak ada semangat meluap, dia jadi lusuh macam orang tua. Jadi tak mengapa.

"Tapi biar semangat itu didasarkan pada kerangka tadi. Apa yang kita mau capai. apa keyakinan kita dan apakah benar kupasan kita itu berteraskan kepada prinsip membawa keharmonian, dan keamanan, menegakkan keadilan dan memikirkan soal kemanusiaan sejagat.

"Apatah lagi dalam negara segala kemajmukan di Malaysia ini," katanya lagi.

Dalam ucapannya, Anwar juga menunjukkan satu ketika ketika wujud sebuah gerakan Islam di Mesir, yang menurutnya cenderung untuk mempercayai bahawa mereka adalah satu-satunya di jalan yang benar.

Golongan ini, menurut Anwar, telah menjenamakan orang lain yang tidak sehaluan dengan ideologi mereka sebagai 'kafir'.

"Maknanya kita ini penyeru, pencerah, pendakwah. Jangan kita ambil tugas kadi menghukum.

"Jangan kerana mereka kabilah lain, parti lain, kita buat tuduhan keras seperti apa yang kita lihat di media sosial, Tiktok dan sebagainya," jelas perdana menteri.