ULASAN | Gempa bumi dan kesan geopolitik kepada Turkiye
Malapetaka gempa bumi yang menimpa bumi Turkiye amat sedih dan menyayat hati. Sehingga artikel ini ditulis angka korban terbaharu akibat gempa bumi dahsyat Isnin lalu di tenggara Turkiye dan sempadan Syria sudah melepasi 7,800 orang.
Laporan The Guardian yang saya baca, di Turkiye, seramai 5,894 orang disahkan terbunuh manakala 1,932 orang maut di Syria dengan jumlah keseluruhan 7,826 kematian.
Laporan media antarabangsa juga mengatakan usaha menyelamat awal dikatakan terhenti akibat gempa kedua berlaku pada pukul 1.24 tengah hari (waktu tempatan) yang berukuran 7.5 magnitud.
Keadaan cuaca sejuk dan bersalji turut menyukarkan operasi menyelamat.
Di tengah kedua-dua negara sedang berhadapan dengang kesengsaraan, keperitan dan harapan bantuan antarabangsa yang datang dengan pasukan kemanusiaan dan penyelamat (Malaysia adalah antara negara awal menghantar pasukan penyelamat) serta bantuan kewangan, majalah satira Perancis Charlie Hebdo (7 Februari 2023) yang terkenal anti Islam ekstremis itu menyiarkan karikatur yang hilang rasa kemanusiaannya.
Maksudnya apabila menggunakan Google Translate ialah kapsyen bermaksud “No need to send tanks.” Bagi majalah seperti ini apa-apa isu besar yang melibatkan dunia Islam ia akan memikirkan bagaimana hendak menghina dan memomokkan Islam sehingga sanggup menyiarkan karikatur dengan penuh kebencian ini.
Pameran karikatur ini seolah-olah memberikan maksud awas atau jaga-jaga Turkiye, kami tahu kelemahan anda jangan berlagak hero dan hebat di sini. Ada maksud yang hendak disampaikan dan ia bukanlah sekadar pemaparan karikatur atau kartun dengan nada yang amat sinis.
Kapsyen dengan maksud Turkiye mudah tewas tanpa menggunakan senjata berat, mengingatkan kepada artikel yang pernah saya baca mengenai negara kuasa besar yang menghasil dan menciptakan teknologi membuat malapetaka seperti puting beliung dan gempa bumi iaitu hasil buatan manusia. Tidak dipastilah kebenarannya.
Apabila Turkiye menunjukkan kekuatan diplomasi dan politik kuasa dalam geopolitik serantau maka butang teknologi mencipta malapetaka digunakan bagi melemahkan Turkiye dan Syria yang juga kini berada di bawah tekanan sekatan ekonomi.
Tekanan untuk terima Sweden
Apabila memerhati malapetaka gempa bumi inilah bukan pertama kali Turkiye mengalaminya dan mereka pernah membangun kembali namun keadaan sekarang agak berbeza dari segi geopolitik Turkiye.
Kejadian gempa berada pada ketika Turkiye bawah tekanan supaya menerima kemasukan Sweden ke dalam pakatan ketenteraan Pertubuhan Perikatan Atlantik Utara (Nato).
Alasan Ankara ialah kerana Stockholm tidak mengharamkan pertubuhan pengganas yang bergerak bebas di sana.
Episod kemuncak ialah pembakaran al-Quran di hadapan kedutaan Turkiye dan tempat-tempat lain yang bertujuan memberikan tekanan kepada Turkiye dan dunia Islam dan ia akan diteruskan dengan hasrat dunia Islam menasihatkan Turkiye secara diplomatik supaya menerima kemasukan Sweden ke dalam Nato.
Tidak dipastikan sejauh mana bantuan kemanusiaan kesatuan Eropah, Kanada, AS dan negara Barat lain bermaksud telunjuk lurus, kelengkeng berkait membantu dengan tidak ikhlas ke atas Turkiye.
Berkaitan dengan bantuan kemanusiaan ini ada suatu istilah yang disebut imperialisme bantuan kemanusiaan atau humanitarian imperialism iaitu memberikan bantuan kemanusiaan dengan tekanan supaya negara yang menerimanya mengikut telunjuk negara Barat dan kuasa besar.
Sejauh manakah Turkiye akan tunjuk kepada tekanan atau akan terus berpegang kepada pendirian untuk tidak menerima Sweden jika masih membenarkan pertubuhan pengganas beroperasi di sana. Adakah Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan akan bertolak ansur demi bantuan kemanusiaan.
Umum mengetahui Turkiye sedang mengalami kadar inflasi serius meningkat melepasi 84.4 peratus pada November 2022, data yang dikeluarkan oleh Institut Statistik Turkiye tetapi menurun kepada 64.4 peratus pada Disember lalu. Dengan tekanan ekonomi dan harga barangan yang semakin meningkat malapetaka gempa bumi ini tentulah akan meninggalkan parut dalam kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat Turkiye.
Dari segi geopolitik, keputusan Turkiye yang menghalang kemasukan Sweden menyertai Nato menjejaskan usaha AS dan kuasa Barat dalam Nato untuk mengembangkan pengaruh di kawasan Nordik terutamanya yang bersempadan dengan Rusia.
Bahkan keadaan ini membuatkan AS memeterai pakatan ketenteraan dengan Sweden.
Keadaan ini menunjukkan betapa terdesaknya Nato dalam meningkatkan tekanan ke atas Rusia.
Apakah akan berlaku sekiranya kejadian gempa bumi memburukkan lagi keadaan ekonomi Turkiye dan kestabilan politik Turkiye?
Undang kekalahan AKP?
Adakah ia akan menjejaskan pilihan raya presiden Turkiye pada Mei ini yang akan membawa kepada kekalahan AKP dan kejatuhan Erdogan daripada puncak kuasa?
Reuters melaporkan banyak kritikan dilemparkan kepada Erdogan berikutan kelemahan dan ketidakcekapan kerajaannya menguruskan usaha penyelamat dalam kejadian gempa bumi ini. Bahkan bantahan semakin meningkat daripada pihak pembangkang.
Gempa bumi kuat yang melanda turut menyebabkan saluran paip gas asli musnah dan seterusnya menyebabkan letupan besar di wilayah Hatay. Pengendali gas Turkiye syarikat Botas memberitahu telah menghentikan sementara operasi bekalan tenaga buat masa ini, kerana letupan saluran paip itu turut mengakibatkan kebakaran.
Sejauh manakah kebakaran dan pecahnya saluran gas itu membawa kesan kepada geopolitik tenaga Turkiye?
Sejak tercetusnya konflik Rusia-Ukraine, terdapat peningkatan berkali ganda pembelian tenaga iaitu gas dan minyak dari Rusia dengan harga yang murah. Pembekalan tenaga murah ini mengapungkan ekonomi Turkiye.
Bukan sahaja Erdogan dapat membeli gas dengan harga diskaun, pembayaran gas dengan tukaran mata wang rouble (daripada dolar AS) membantukan meningkatkan pertumbuhan ekonomi Turkiye. Di samping Turkiye juga mengeksport produknya ke Rusia dengan menggunakan mata wang lira-rouble.
Bahkan Turkiye juga menjadi jalan saluran gas utama Rusia ke Eropah yang akan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonominya.
Dengan lain perkataan untuk menang dalam pilihan raya dan mengekalkan kuasa, pengamalan dasar luar yang bersifat autonomi akan meningkatkan sokongan rakyat terutamanya di kawasan sebelah Turkiye sebelah Asia.
Kestabilan politik dan pengekalan kuasa Erodogan akan kekal sekiranya dasar luar yang berautonomi dan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi melalui eksport dan import minyak dan gas dari Rusia berterusan dan ia akan meningkatkan sokongan rakyat kepada Erdogan dan tidak memberikan ruang kepada pembangkang yang pro Amerika dan Nato untuk menang.
Diharapkan malapetaka gempa bumi tidak melemahkan Turkiye yang berada dalam situasi geopolitik kritikal pengimbang timur barat. Ia berkehendakkan Turkiye terus mengamalkan dasar luar yang agak bebas dalam berhadapan dengan Nato dan Barat.
ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pemerhati geopolitik dalam dan luar negara.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai