Skip to main
Logo Malaysiakini

Ramasamy gesa PM lakukan reformasi dalam sektor awam

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy mencadangkan supaya perkhidmatan awam Malaysia yang dianggapnya telah “kejang” (ossified) menjalani pembaharuan.

Sambil menggesa perdana menteri supaya mereformasikan perkhidmatan awam, katanya Anwar Ibrahim perlu menyedari keperluan untuk memecahkan dasar monopoli kaum tertentu semasa era kepimpinan Dr Mahathir Mohamad.

P Ramasamy

“Selepas lebih 60 tahun merdeka, perkhidmatan awam negara kebanyakannya terdiri daripada Bumiputera Melayu dari Semenanjung dengan penyertaan kecil Bumiputera bukan Islam dan bukan Melayu, termasuk Cina dan India.

“Dasar perkauman sebegini tidak boleh dipertahankan lagi, bukan ketika kerajaan perpaduan berkuasa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dia turut memetik kenyataan Premier Sarawak Abang Johari Openg dan jurucakap  kumpulan G25 Noor Faridah Mohd Ariffi yang menggesa supaya perkhidmatan awam dibuka kepada bukan Bumiputera di Sabah dan Sarawak termasuk kaum Cina.

Mereka, dilaporkan berkata, antara lain, bagaimana mengharapkan rakyat bukan Melayu memberi sumbangan kepada pentadbiran negara, jika mereka dikecualikan.

Ramasamy seterusnya berhujah bahawa kenyataan lama yang memihak kepada penguasaan Melayu dalam perkhidmatan awam adalah untuk mengimbangi penguasaan ekonomi Cina oleh Dr Mahathir adalah tidak lagi sah.

Katanya, terdapat juga dasar mengimbangi penguasaan ekonomi China dengan membawa masuk pelabur asing, serta melalui pertumbuhan syarikat berkaitan kerajaan.

“Memandangkan kepelbagaian ekonomi dari segi pemilikan dan kawalan, adalah tidak masuk akal untuk memastikan perkhidmatan awam kekal sepenuhnya di tangan orang Melayu.

“Dalam keadaan politik hari, Anwar boleh secara perlahan-lahan memastikan perkhidmatan awam mencerminkan komposisi etnik negara,”  katanya.

Menurut pemimpin DAP itu,  alasan bahawa orang bukan Melayu menjauhkan diri daripada perkhidmatan awam kerana kekurangan prospek kenaikan pangkat adalah juga tidak benar.

Oleh itu, katanya, kerajaan hari ini perlu membatalkan dasar lama itu.

“Dari segi ideologi tidak ada cinta yang hilang antara Anwar dan Mahathir, tetapi sudah pasti Anwar tidak boleh lupa bahawa melemahkan keganasan Mahathirisme bermula dengan mereformasi perkhidmatan awam antara lain.

“Agenda reformis di bawah kerajaan perpaduan mungkin tenggelam, tetapi dengan PH sebagai peneraju, tidak ada lari daripada apa yang dijanjikan kepada rakyat,” katanya.

Ramasamy berkata, kepimpinan baharu yang nampaknya subur maju di bawah konsep Malaysia Madani tidak boleh sekadar memberi janji-janji manis sedangkan komposisi rakyat dalam perkhidmatan awam masih tidak seimbang.

“Saya yakin rakyat akan mengingatkan kerajaan sekarang tentang janji-janji tadbir urus yang baik,” katanya mengakhir hantarannya itu.