Mahathir keluar Pejuang
Bekas pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad keluar parti itu, bersama beberapa lagi anggotanya.
Perkara itu dimaklumkan menerusi surat bertarikh 10 Februari (hari ini) kepada Setiausaha Agung Pejuang Amiruddin Hamzah, seperti yang dikongsi bekas timbalan presiden Marzuki Yahya di Facebook.
Marzuki bersama 11 lagi anggota lain turut keluar dari parti itu.
Menurut surat itu, mereka mengambil keputusan tersebut selepas Pejuang bertindak keluar dari Gerakan Tanah Air (GTA).
"Keputusan Pejuang memutuskan hubungan dengan GTA secara langsung menyingkir kami dari kekal sebagai ahli apabila kami bertindak meneruskan perjuangan di atas landasan GTA.
"Bagi kami, matlamat perjuangan GTA adalah untuk menyatupadukan parti-parti Melayu, badan-badan bukan kerajaan dan juga orang perseorangan yang berprinsip dan berpegang kepada perjuangan untuk membela agama, bangsa dan tanah air.
"Di atas kesedaran ini, kami memilih untuk meneruskan perjuangan itu melalui GTA," menurut surat itu.
Selain itu, turut mengambil langkah sama adalah bekas ahli Majlis Eksekutif Pusat Armin Baniaz Pahamin dan bekas ketua Pejuang Wilayah Persekutuan Khairuddin Abu Hassan.
Pada 16 Disember lalu, Mahathir disahkan meletakkan jawatan sebagai pengerusi Pejuang, beberapa minggu selepas prestasi buruk parti itu dan GTA dalam PRU15.
Pada 14 Januari lalu, Pejuang mengambil keputusan untuk keluar dari GTA.
Presidennya yang juga anak kepada Mahathir, Mukhriz berkata keputusan itu bagi memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan Pejuang dan dibuat setelah mengambil kira pandangan para perwakilan dalam perhimpunan agung parti.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai