PM: Mahasiswa, pelajar bebas beri pandangan, kritik kerajaan
Mahasiswa dan pelajar di negara ini bebas untuk menyuarakan pandangan mereka termasuk memberi kritikan dan menegur kerajaan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata ini bagi memastikan golongan itu memiliki pemikiran kritikal selain mewujudkan suasana universiti yang lebih segar.
Dia berkata perkara itu juga telah disampaikan kepada Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
“Mereka juga sudah buka ruang terutama Kementerian Pendidikan Tinggi supaya universiti lebih segar dalam membolehkan sesuatu pandangan itu diberikan melainkan hal-hal yang mencerca, (bersifat) perkauman atau fahaman agama yang melampau.
“Selain itu, (mereka) diberi kebebasan termasuk (menyuarakan) teguran atau kritikan terhadap perdana menteri iaitu kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan Tabung Pelajar Antarabangsa AbuSulayman (AISF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, Anwar dalam ucapannya berkata institusi pendidikan di Malaysia harus meninggalkan kaedah lama dan sudah ketinggalan zaman yang menyaksikan para pelajar disekat daripada menggunakan hak mereka untuk menjadi kritikal.
Dia berkata sekolah dan universiti perlu membenarkan kritikan berdasarkan fakta dan alasan yang munasabah bagi memupuk kreativiti serta pemikiran dalam kalangan pelajar.
“Bagaimanapun, perkara itu perlu dilakukan dengan syarat mereka tidak ambil mudah sebarang isu, kritikan perlu dilakukan melalui wacana berdasarkan logik... Ini bermakna anda perlu memiliki pemahaman, anda perlu belajar dan melihat kritikan lain sebelum melontarkan kritikan anda,” katanya.
Pada majlis itu, Anwar yang juga bekas presiden UIAM menyaksikan penyerahan sumbangan dana tambahan untuk AISF UIAM daripada keluarga bekas Rektor Kedua UIAM Allahyarham Profesor Emeritus Dr Abdul Hamid Abu Sulayman.
Turut hadir Rektor UIAM Profesor Emeritus Dzulkifli Abdul Razak dan Presiden merangkap CEO Sterling Management Group Dr Yaqub Mirza.
Sumbangan bernilai AS$300,000 diserahkan kepada Dzulkifli bagi membantu pelajar antarabangsa dari pelbagai negara yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan dalam bentuk wang sara hidup.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai