ULASAN | Mereka ingat masuk pilihan raya akan terus menang
ULASAN | Turut merasa sedih apabila Tun Dr Mahathir Mohamad bersama 14 bekas pimpinan Pejuang mengumunkan keluar parti semalam. Sebelum ini Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai pengerusinya.
Putra juga terkejut kerana Pejuang adalah penganjur utama ke arah penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) sebelum ini. Sebelum GTA dilahirkan secara rasmi (mendapat kelulusan ROS), ia terbunuh dalam kandungan, iaitu keguguran yang dipaksa.
Apakah ia masih selamat atau tidak, bergantung kpd bidan (ROS) yang akan menentukannya.
Keputusan Datuk Seri Mukriz Mahathir dan majoriti majlis pimpinan Pejuang membuat keputusan keluar GTA adalah berpunca daripada kekalahan teruk dalam PRU15, sehingga semua calon hilang deposit.
Mereka ini walaupun sedar GTA baru dan belum diluluskan, meraka ingat masuk bertanding pilihan raya terus menang dan dapat menubuhkan kerajaan dan semua akan mendapat jawatan. Rupa-rupanya inilah nafsu yang tersimpan di lubuk hati mereka dan bukan teguh dan kuat berpegang kepada niat perjuangan untuk menyatupadukan umat melayu dan melaksanakan agenda bangsa supaya bumi tidak dipijak orang.
Mereka sendiri yang mendedahkan siapa mereka dan matlamat nilai perjuangan mereka. Takut kerana kebuluran dan mati kehausan, mereka terus tinggalkan jemaah dan sahabat-sahabat tanpa kira bicara, termasuk anak meninggalkan bapa walaupun dunia mengenali siapa Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kalah di Langkawi bukan bermakna tidak relevan lagi atau sudah dimakan usia. Anak dan bapa pun boleh berbeda, apatah lagi adik-beradik dan keluarga dalam dunia politik. Yang berbedanya, siapa sebenarnya pejuang dan pemimpin rakyat yang sebenar.
Mengikut khabar berita, mereka yang bawa keluar Pejuang dari GTA ingin memohon untuk menyertai PH. Mukriz adalah Adun Kedah dan anak Kedah. Atas alasan apa mahu sertai PH? Bukankah Kedah kini di kuasai PN?
Dalam PRN akan datang ini, mengambil kira situasi landskap politik negara terkini, walau pun PH-BN menjadi kerajaan persekutuan, Kedah, Kelantan dan Terenganu kini kubu kuat PN. Tidak mudah untuk PH-BN menang di negeri-negeri ini. Majoriti orang melayu di utara dan pantai timur tetap tegas menolak DAP dan dasar PH yang liberal.
Gilaplah macam mana pun, dalam masa terdekat PN tidak mudah digugat. Maka yang terbaik untuk survival politik Mukhriz dan rakan-rakannya, mereka sepatutnya memohon bersama dgn PN kerana mudah untuk menang.
Kalau jadi calon menteri besar untuk PH ,apakah mudah? Kalau mahu jadi menteri besar kena menang dan tubuh kerajaan. Nak jadi Exco pun sama. Jika bersama PN, walaupun tidak menjadi calon MB, tapi Exco mungkin dalam tangan.
Bicara saya dalam bahasa yang mudah difahami tapi untuk bersama PH amat sukar difahami. Apatah lagi jika melihat kecaman-kecaman terhadap PH dan DAP sebelum ini. Malah untuk bersama berkempen dgn Umno di kala Umno yang menghadapi sakit tenat dan Mukhriz pun sebelum ini tuduh macam-macam kepada mereka. Pasti ia memalukan bagi orang yang ada maruah dan harga diri.
Putra memilih jalan yang penuh onak dan duri walaupun berkayuh dgn lidi. Putra tidak akan mengamalkan kaedah matlamat menghalalkan cara, beretorik dan bersifat hipokrit. Kita manusia semuanya ada kelemahan tapi janganlah mengejar sesuatu sehingga seperti tiada hari esok lagi.
Jika perjuangan demi agenda Islam dan Melayu mutakhir ini terhimpit di segenap penjuru, maka hanya yang benar-benar cekal serta memiliki semangat pengorbanan yang tinggi sahaja dapat mengharungi dugaan dan cabaran.
Saya doakan semoga PH dapat menerima Pejuang sebagai anggotanya. Tapi janganlah sehingga dilayan macam anak tiri seperti Muda - walaupun menyokong PH, ada kala bercakap seorang-seorang. Nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Maruah tergadai tetapi tidak berbaloi.
Pintu Putra terbuka untuk bekas ahli Pejuang kerana perjuangan Putra sama dengan pegangan mereka yang telah meninggalkan parti itu.
Tun Dr Mahathir adalah pemimpin negara yang terbilang dan sebaris dengan pemimpin hebat dunia. Rekod Tun Dr Mahathir tidak ada sesiapa boleh pertikai. Pengalaman dan ilmunya cukup hebat dan seorang ahli fikir yang patut dibanggakan negara. Tun Dr Mahathir masih relevan apatah lagi dengan keadaan orang melayu dan Bumiputera makin terpinggir.
Walaupun umur sudah 98 tahun tapi kesihatannya lebih baik jika dibandingkan dengan yang berumur 65 tahun. Semoga Tun Dr Mahathir dipanjangkan umur, sentiasa sihat dan dalam rahmat Allah setiap masa.
IBRAHIM ALI ialah Presiden Putra dan bekas ahli parlimen Pasir Mas.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai