Skip to main
Logo Malaysiakini

PULASAN | Seronok memangsakan agama

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PULASAN | Papan tanda - atau notis yang bersahaja - itu dipasang di dua tiga tempat strategik yang memudahkan semua orang melihatnya. Ia bertulis: "Iman harus tebal untuk menunggu".

Ia adalah sebuah kedai makan yang sederhana saja. Terletak di tepi jalan yang hanya sibuk pada waktu lewat pagi sehingga awal petang. Kebanyakan orang datang ke situ untuk bertumpu ke gerai itulah.

Cuaca panas hampir-hampir tidak mahu bersimpati kepada sesiapa saja jika waktunya tengah hari. Mujurlah ada pokok-pokok besar yang ditanam entah berapa tahun lalu bersusun di tepi jalan.

Bayang-bayang dari daun, ranting dan dahan pokok itulah yang memberikan teduh simpati pada bumbung deretan gerai yang ada di sebatang jalan kecil di sebuah kawasan kilang di Petaling Jaya.

Papan tanda sederhana itu menjadi antara latar yang boleh menenangkan pelanggan kedai menjual 'ikan jaket' belah belakang bergoreng garing itu. Sambal yang disumbat pada badan ikan cencaru itu memang lain daripada yang lain.

Pada waktu puncak, tempoh untuk menunggu giliran untuk mendapat 'ikan jaket' panas-panas itu mungkin mencecah sehingga lebih satu jam. Kalau tidak sanggup menunggu, penjualnya tentu tidak akan marah pun kerana mereka mencuba sehabis baik untuk bersegera.

Tetapi ramai benar yang rela menunggu walaupun lama. Kesedapan ikan itu serta lauk-pauknya memang berbaloi untuk membunuh rasa lapar pada waktu tengah hari.

Ada dalil boleh dicari

Panas cuaca di sekeliling dan rimas menunggu menjadi teduh serta damai dengan adanya pesanan lunak dari gerai tersebut. Iman harus tebal, atau kesabaran akan membawa pelanggan 'kempunan' menikmati hidangan berkenaan.

Bayangkan kalau sebuah kedai - misalnya yang menjual ikan bakar pula - meletakkan papan tanda yang mengajar pelanggan berseteru. Memang tidak ada sebarang peraturan pun yang melarang peniaga 'bergocoh' dengan pelanggan semasa melayan mereka.

Peniaga boleh saja menyindir dan menyakitkan hati pelanggan - kalau mahu. Misalnya letak saja notis atau papan tanda mengejek di tempat strategik di premis tersebut.

"Jangan pandang-pandang, kami perlukan masa yang lama untuk membakar ikan" misalnya.

Atau tulis saja di mana-mana: Kalau tidak sabar, anda boleh pergi ke kedai lain.

Jika suatu hari nanti pelanggan semakin berkurangan - walaupun kita rasa resipi kita adalah yang paling enak dalam galaksi Bima Sakti ini - ada banyak alasan dan dalil untuk merasionalkan kegagalan itu.

Mendakwa kita menjadi mangsa guna-guna atau sihir peniaga lain, misalnya.

Sekarang, bayangkan kalau kita menjadi para peniaga itu yang berlumba-lumba menarik seramai mungkin pelanggan. Dan 'produk' yang kita pasarkan itu namanya segala kebaikan dan keindahan Islam.

Ia adalah sebuah agama yang penuh dengan rahmah dan ramah, teduh lagi damai. Ia suatu pakej yang sempurna dan tiada cacat celanya.

Pada masa memasarkan Islam itu, sudah tentu kita mahu usaha tersebut dilihat sebagai suatu pakej yang lengkap. Ia tidak sekadar produk tetapi bagaimana ia dihaluskan, dipakejkan, dibungkus, dirapi dan dipamerkan.

Gagal mentafsir dengan akal

Cara yang berkesan ialah dengan menterjemah Islam itu dalam perilaku, sifat dan pemikiran, misalnya. Penzahiran luaran juga penting, justeru kita pun berkopiahlah, bersongkoklah, berserbanlah, berketayaplah, berjubahlah, bertasbihlah, bertudung labuhlah.

Tapi mulut mengalahkan saluran pembentung jamban.

Semasa memaparkan dan 'memasarkan' keindahan agama, kita - yang yakin bakal melintasi Sirat al-Mustakim sepantas kilat lalu melangkah masuk ke syurga tanpa dihisab - kemudian berasa megah kerana menjadi rasis.

Hanya kerana kita ini ditakdirkan lahir dan membesar di tanah yang Melayunya lebih ramai, kita melihat bangsa-bangsa lain hanyalah watak yang wajib diletakkan di kelas kedua atau lebih rendah.

Agama gagal menjadikan ramai daripada kita untuk lunak, menggamit ke arah kebaikan dan mendamaikan sebaliknya membuat kita liar lagi jahat.

Bukanlah itu salah agama sebaliknya kegagalan akal untuk mentafsir serta menterjemah segala kebaikan yang dibawa agama berkenaan.

Jika ada sesiapa anak Melayu yang menghina bangsa lain, kita tegur dan nasihat sajalah, lalu maafkan. Kerana mengejar pingat Sukan SEA itu jauh lebih penting berbanding moral, contohnya.

Sudah tentu orang politik yang melakukan hal itu tidak akan berasa janggal, apa lagi malu. Sebagai 'haiwan politik' sudah pasti sikap dan ketetapan itu dibuat dengan mengambil kira keuntungan politik juga.

Kerana itu orang yang berfikiran waras dan damai pasti berasa musykil bagaimana seorang ketua Pemuda PN boleh menganggap mengejar sebutir pingat itu jauh lebih utama berbanding mengekang sikap perkauman yang melampau.

Kemudian datanglah pula sekumpulan anak muda yang ligat beraksi di pentas TikTok. Diyakini melakukannya atas nama agama, mereka juga dipercayai sangat yakin menganggap salah satu pintu syurga itu adalah milik bapa atau datuk sendiri.

Berkata-kata mengikut lidah yang tidak bertulang, menuduh semberono dan penuh pembohongan kononnya demi agama, bangsa dan parti - semuanya itu memang sedap dan mengasyikkan.

Untuk meyakinkan orang ramai, pakailah jubah dan tudung labuh - bagi perempuan - atau simpan janggut sejemput atau jambang yang lebat - bagi lelaki.

Perjuangan itu mesti diteruskan kerana Islam sedang terancam, kononnya.

Dan yang paling menjadi mangsa ialah Islam itu sendiri.

Modus operandi gerakan itu agak mudah, sebenarnya. Ia seumpama langgar dan lari. Atau dalam konteks lebih terkini: kecam dan fitnah di media sosial dulu, kemudian lari menyembunyikan diri dengan menyahaktifkan akaun masing-masing.

Kalau kena saman, mintalah kemaafan, kemudian pusinglah cerita bagaimana sekali pun. Akan ada ramai yang percaya.

Contoh teladan kan dah ada?

Anak muda dari generasi yang mungkin tidak sempat tahu kisah Khairy Jamaluddin bersama kumpulan 'budak tingkat empat' itu bukan peduli sangat pun apa kesan hasutan kebencian yang ditanam mereka kepada agama.

Mujurlah ada P Ramasamy yang menyelamatkan keadaan.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang kadang-kadang teringin menjadi pengundi di Prai.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.