Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengambilan kakitangan awam berasaskan merit, bukan kuota kaum - Cuepacs

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menegaskan pengambilan dan pelantikan kakitangan dalam sektor perkhidmatan awam dilakukan berasaskan merit dan kompetensi calon tanpa membabitkan sebarang kuota seperti yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Presidennya Adnan Mat menegaskan SPA tidak pernah menetapkan pengambilan kakitangan perkhidmatan awam perlu menepati sebarang kuota termasuk membabitkan agama, kaum, etnik atau negeri tertentu.

"Sebaliknya, kebanyakan yang menyertai perkhidmatan awam adalah bergantung kepada kehendak, minat dan kecenderungan individu berkenaan sendiri," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kenyataan itu sebagai mengulas gesaan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwanya didominasi oleh orang Melayu sejak dasar itu dilaksanakan ketika era pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

Ramasamy berkata hujah lama yang memihak kepada penguasaan orang Melayu dalam perkhidmatan awam untuk mengimbangi penguasaan ekonomi bangsa Cina, tidak lagi terpakai.

Dia turut mendakwa terdapat diskriminasi kaum secara rahsia yang berkaitan dengan prospek kenaikan pangkat untuk bukan Melayu dalam sektor awam.

Sehubungan itu, Adnan berkata pihaknya memandang serius kenyataan yang dibuat pemimpin politik itu yang dilihat cuba mempolitikkan perkhidmatan awam.

Katanya, Cuepacs cukup terkilan apabila wakil rakyat tersebut membuat kenyataan terbuka tanpa mendapatkan sebarang maklumat yang tepat daripada kerajaan mengenai situasi sebenar dalam perkhidmatan awam.

"Apatah lagi beliau juga merupakan salah seorang daripada wakil rakyat daripada parti politik yang membentuk kerajaan ketika ini. Kenyataan wakil rakyat tersebut mengenai dasar berasaskan kaum dalam pengambilan dan kenaikan pangkat penjawat awam adalah satu tuduhan yang berat dan tidak berasas.

"Perkhidmatan awam selama ini tidak pernah menetapkan bangsa sebagai faktor penentu dalam mengambil atau menaikkan pangkat penjawat awam seperti yang didakwa oleh wakil rakyat tersebut.

"Permohonan pula adalah terbuka kepada semua bangsa dan agama. Tanpa membuat permohonan melalui SPA, bagaimana seseorang individu itu boleh menyertai perkhidmatan awam atau dilihat berminat untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat," jelasnya.

Tambahnya lagi sebagai seorang wakil rakyat dia sepatutnya memberi kesedaran kepada rakyat mengenai peluang kerjaya dalam sektor perkhidmatan awam supaya pelbagai kaum berminat atau mengetahui peluang kerjaya tersebut.

"Tidak wajar untuk menuduh perkhidmatan awam sebagai milik kaum tertentu jika anda sendiri sebagai wakil rakyat tidak bersama-sama dengan perkhidmatan awam untuk meningkatkan lagi pembangunan kerjaya dalam sektor awam ini.

"Ketika ini sambutan daripada kaum bukan bumiputera untuk menyertai perkhidmatan awam dilihat kurang kerana mereka berpandangan gaji rendah berbanding jika bekerja di sektor swasta atau berniaga," kata Adnan.