Skip to main
Logo Malaysiakini

AS tembak jatuh objek misteri di sempadan Kanada

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

GLOBAL | Jet pejuang tentera AS pada Ahad menembak jatuh objek segi lapan di atas Tasik Huron, kata Pentagon, insiden terbaru sejak belon pengawasan China yang disyaki meletakkan pasukan keselamatan Amerika Utara dalam keadaan berjaga-jaga.

Ia objek terbang keempat yang ditembak jatuh di atas ruang udara Amerika Utara oleh peluru berpandu AS dalam tempoh lebih sedikit dari seminggu.

Jeneral Tentera Udara AS Glen VanHerck, yang ditugaskan untuk menjaga ruang udara Amerika SYarikat, memberitahu pemberita bahawa pihak tentera tidak dapat mengenal pasti apakah tiga objek terbaru itu, bagaimana ia kekal tinggi, atau dari mana ia datang.

"Kami memanggil mereka objek, bukan belon, atas sebab tertentu," kata VanHerck, ketua Komando Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara (NORAD) dan Komando Utara.

‘Tiada bukti makhluk angkasa’

VanHerck berkata dia tidak akan menolak kemungkinan makhluk asing atau sebarang penjelasan lain.

"Saya akan menyerahkan kepada komuniti perisikan dan komuniti risik balas (counterintelligence) memikirkannya," katanya.

Seorang lagi pegawai pertahanan, bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, kemudian berkata tentera tidak melihat sebarang bukti bahawa objek itu berkaitan makhluk luar angkasa.

Atas arahan Presiden Joe Biden, seorang anggota tentera udara yang mengendalikan pesawat F-16 AS menembak jatuh objek itu pada pukul 2:42 petang pada waktu tempatan di atas Tasik Huron di sempadan AS-Kanada, menurut jurucakap Pentagon Brigadier Jeneral Patrick Ryder dalam satu kenyataan rasmi.

Walaupun ia tidak menimbulkan ancaman ketenteraan, objek itu mungkin berpotensi mengganggu lalu lintas udara domestik kerana ia bergerak pada ketinggian 20,000 kaki (6,100 m), dan ia mungkin mempunyai keupayaan pengintipan, kata Ryder.

Kerangka objek itu kelihatan seperti segi lapan, dengan tali yang digantung tetapi tiada muatan yang boleh dilihat, kata seorang pegawai AS yang tidak mahu namanya disiarkan.

Objek itu dipercayai sama seperti yang dikesan baru-baru ini di Montana berhampiran tapak tentera yang sensitif, menyebabkan penutupan ruang udara AS, kata Pentagon. Tentera akan cuba mendapatkan semula objek yang jatuh di atas Tasik Huron untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya, kata VanHerck kepada pemberita.

Dia berkata ia mungkin jatuh ke perairan Kanada.

Insiden itu menimbulkan persoalan mengenai beberapa objek luar biasa yang muncul di langit Amerika Utara dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan menimbulkan ketegangan dengan China.

"Kami memerlukan fakta tentang dari mana ia berasal, apakah tujuannya, dan mengapa kekerapan objek berkenaan meningkat," kata wakil rakyat AS Debbie Dingell, salah seorang daripada beberapa penggubal undang-undang Michigan yang memuji tentera kerana menembak jatuh objek itu.

Pegawai AS mengenal pasti objek pertama sebagai belon pengintipan China dan menembaknya di luar pantai Carolina Selatan pada 4 Februari. Pada hari Jumaat, objek kedua ditembak jatuh di atas laut ais berhampiran Deadhorse, Alaska. Dan objek ketiga telah dimusnahkan di atas Yukon Kanada pada hari Sabtu, dengan penyiasat masih mencari serpihan itu.

"Keselamatan rakyat adalah keutamaan kami dan itulah sebabnya saya membuat keputusan supaya menembak jatuh objek yang tidak dikenali itu," kata Perdana Menteri Justin Trudeau kepada pemberita pada Ahad.

Amerika Utara berwaspada terhadap pencerobohan udara berikutan kemunculan kapal udara China berwarna putih dan menarik perhatian di atas langit Amerika awal bulan ini.

Belon setinggi 200 kaki (60 meter tinggi) itu - yang didakwa Amerika digunakan Beijing untuk mengintip Amerika Syarikat - menyebabkan insiden antarabangsa, sehinggakan Setiausaha Negara Antony Blinken membatalkan lawatan yang dirancang ke China hanya beberapa jam sahaja sebelum dia berlepas.

Pegawai Pentagon berkata mereka telah meneliti radar dengan lebih teliti sejak itu.

Kebimbangan pengintipan nampaknya menyebabkan pegawai AS berjaga-jaga.

Tidak menyerupai belon China

Dalam tempoh 24 jam sebanyak dua kali pegawai AS menutup ruang udara dan membukanya semula dengan pantas.

Pada hari Ahad, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan menutup sebentar ruang di atas Tasik Michigan. Pada hari Sabtu, tentera AS mengerahkan jet pejuang di Montana untuk menyiasat anomali radar di sana.

China menafikan belon pertama itu digunakan untuk pengintipan dan mengatakan tujuannya bagi penyelidikan awam. China juga mengecam Amerika Syarikat kerana menembak jatuh belon itu di pantai Carolina Selatan Sabtu lalu.

Ketua Majoriti Senat AS Chuck Schumer memberitahu penyiar ABC bahawa pegawai AS berpendapat dua objek terbaru itu belon yang lebih kecil daripada yang asal.

Namun, Rumah Putih berkata bahawa objek yang ditembak jatuh baru-baru ini "tidak menyerupai" belon China, mengulangi penjelasan Schumer tentang bentuknya yang "jauh lebih kecil."

"Kami tidak akan mencirikan mereka secara muktamad sehingga kami dapat serpihannya, yang sedang kami usahakan," kata seorang jurucakap.

Serpihan di pendalaman

Rakan sejawat Kanada yang cuba mencari objek apa yang ditembak jatuh di atas Yukon mungkin mempunyai cabaran mereka sendiri. Wilayah ini kawasan yang tidak ramai penduduknya di barat laut jauh Kanada, yang bersempadan dengan Alaska. Ia boleh menjadi sangat dingin pada musim sejuk, tetapi suhu adalah luar biasa ringan untuk tahun ini, yang boleh memudahkan usaha pencarian.

Perwakilan Republikan Mike Turner, yang berkhidmat dalam Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Rumah AS, mencadangkan Rumah Putih cuba menutup kesilapan mengenai apa yang disifatkannya sebagai pemantauan ruang udara Amerika yang lemah sebelum ini.

"Mereka kelihatan agak trigger-happy (gila menembak)," kata Turner kepada CNN pada hari Ahad. "Saya lebih suka mereka menjadigila menembak daripada menjadi permisif."

Parti Republikan telah mengkritik pentadbiran Biden berhubung pengendaliannya terhadap pencerobohan oleh belon pengintip China yang disyaki, mengatakan ia sepatutnya ditembak jatuh lebih awal.

(Laporan oleh Phil Stewart and Idrees Ali; laporan tambahan oleh Steve Scherer in Ottawa, David Shepardson dan Andrea Shalal di Washington serta Dan Whitcomb di Los Angeles; penulisan oleh Andy Sullivan dan Raphael Satter; suntingan oleh Ross Colvin, Tim Ahmann dan Lisa Shumaker)

- Reuters