Skip to main
Logo Malaysiakini

Razman: Hormati keistimewaan Melayu dalam perkhidmatan awam

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pengerusi PAS Perak Razman Zakaria menggesa semua pihak menghormati hak orang Islam dan sensitiviti kaum Melayu.

Memetik Perlembagaan Persekutuan, undang-undang Malaysia dan “asas perjanjian kaum yang membentuk kemerdekaan,” Razman tanpa memberikan butiran lanjut mendakwa perkara ini termasuklah keistimewaan orang Melayu "dalam perkhidmatan awam."

Komposisi etnik perkhidmatan awam menjadi isu kontroversi selepas pemimpin DAP P Ramasamy menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk merungkai dasar "penguasaan Melayu" dalam sektor awam.

Bagaimanapun, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat menafikan wujudnya kuota berasaskan kaum untuk pengambilan dan kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam.

Cuepacs berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sebaliknya melihat kepada merit dan tidak menetapkan sebarang kuota agama, kaum, etnik atau kenegerian.

Sementara itu, Razman berkata PAS Perak sentiasa memantau perkembangan politik negara khususnya di negeri Perak.

"PAS juga mengikuti secara serius budaya politik yang dibawa DAP serta mengambil maklum sebaran media dari Adun Melayu yang mewakili DAP di Perak," katanya.

Semakan dengan pasukan media PAS menunjukkan Razman menjawab kenyataan Adun DAP di Perak, Aziz Bari (gambar, bawah).

Aziz berkata dia mengambil maklum mengenai "kegiatan menyebar politik kebencian atas nama agama dan bangsa."

"Ini termasuklah tuduhan liar mempromosikan LGBT atas nama mempertahankan akidah umat Islam," katanya.

Ini ditujukan kepada Razman, yang telah memohon maaf secara terbuka kepada Anwar dalam kes saman fitnah di Mahkamah Tinggi Taiping.

Saman berkenaan berhubung ucapan Razman yang didakwa mengaitkan Anwar membawa agenda songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

"Kebimbangan dan ketakutan serta rasa tidak selamat yang cuba disebarkan itu sebenarnya tidak wujud.

“Dan kita harus sedar bahawa kedudukan Islam dan orang Melayu telah diberikan perlindungan yang cukup oleh perlembagaan.

“Dengan itu tidak ada parti politik, sekuat manapun mereka yang boleh merubah status quo itu,” kata Aziz.

Menyeru parti politik untuk bersaing atas dasar polisi dan rekod prestasi masing-masing, Adun Tebing Tinggi itu mengingatkan agar tidak menggunakan politik kebencian untuk mencari pengaruh kerana ia boleh mengancam negara.

Melayu korban politik kebencian

"Dengan itu, DAP menyeru dan mengajak para ulama dan cendekiawan Melayu untuk tampil ke depan berganding bahu membanteras politik negatif yang berbahaya itu.

"Pada hakikatnya bukan DAP satu-satunya korban daripada politik kebencian itu.

"Mangsa sebenar politik kebencian itu adalah orang Melayu sendiri," katanya menjelaskan perkara itu boleh merugikan masyarakat dengan membuat pilihan yang tidak tepat.

Sementara itu, Razman berkata "PAS sangat mengambil berat terhadap sebarang usaha yang menggugat kedaulatan dan hak yang termaktub dalam perlembagaan."

"PAS juga menuntut semua pihak terutama parti politik agar menjunjung perlembagaan negara, menghormati undang undang serta asas perjanjian kaum yang membentuk kemerdekaan.

"Semua hak hak yang telah termaktub dalam perlembagaan atau persefahaman yang dibina dalam pembentukan negara hendaklah dipatuhi dan dihormati.

"Sebarang usaha menyentuh perkara berkaitan hanya akan menggugat keselamatan negara dan keharmonian masyarakat.

"Mempertikaikan hak orang islam dan sensitiviti orang Melayu mestilah dielakkan.

"Mengkritik amalan agama islam, mempertikaikan tulisan jawi, keistimewaan orang Melayu seperti dalam perkhidmatan awam dan peruntukan terhadap agama Islam sebagai agama negara serta kedaulatan institusi raja Melayu adalah perkara boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dan menggugat keselamatan negara," kata Razman lagi.

Kedua-dua Aziz dan Razman bagaimanapun meminta pihak berkuasa untuk tidak berkompromi dengan politik "negatif".

Untuk rekod, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak menggunakan istilah "hak istimewa" bumiputera.

Perkara 153 merujuk "perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak."

Berdasarkan Perkara 153 (1), "menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini."