Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis cekup penyamun larikan diri, pandu kereta cara merbahaya

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Cubaan seorang penyamun melarikan diri daripada dicekup polis dengan memandu secara merbahaya dari Banting hingga ke Klang sejauh lebih 30 kilometer gagal, apabila lelaki itu ditahan di sekitar Pelabuhan Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 7 petang, yang melaporkan ada kejadian tembakan berlaku di kawasan Kampung Pendamar, Pelabuhan Klang.

Bertindak atas maklumat itu, pihaknya menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mendapati pasukan polis dari cawangan D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, telah mengejar suspek yang terlibat dengan kejadian samun di Subang Jaya.

“Polis telah mengejar suspek dari daerah Banting ke Klang melalui Teluk Panglima Garang dan lelaki itu yang menggunakan kereta jenis Proton Inspira, memandu secara berbahaya sehingga melanggar beberapa buah kenderaan orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Cha berkata sewaktu berada di kawasan Masjid Kampung Pendamar, suspek bertindak melanggar kereta yang dinaiki pasukan polis secara agresif, sehingga hampir melanggar kenderaan lain menyebabkan polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan suspek.

Beliau berkata kereta suspek kemudian melanggar bonggol jalan dengan kelajuan yang tinggi serta melanggar sebuah kereta orang awam, lalu terbabas di tepi jalan kawasan Kampung Pendamar.

Namun, lelaki tempatan berusia 31 tahun itu terus melarikan diri dari lokasi tersebut dan polis yang mengejar suspek telah memberhentikan kereta di belakang kereta suspek, dan mengejar suspek di kawasan perkampungan.

“Setelah itu, suspek kembali ke lokasi tempat kereta suspek terbabas dan masuk ke dalam kereta yang digunakan oleh pasukan polis.

“Pada masa tersebut anggota polis yang mengejar suspek telah melepaskan beberapa das tembakan lagi bagi mengelakkan suspek melarikan diri dan mengancam nyawa orang awam, dalam usaha melarikan diri namun suspek berjaya melepaskan diri," katanya.

Beliau berkata suspek akhirnya berjaya ditahan di kawasan Jalan Kem, Pelabuhan Klang.

“Unit Forensik, JSJ, IPK Selangor, telah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) iaitu cubaan bunuh,” katanya.

Cha berkata suspek yang mempunyai pelbagai rekod lampau kesalahan jenayah serta dadah, diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Subang Jaya bagi siasatan lanjut berhubung kejadian samun yang disiasat di bawah Seksyen 395/397 KK.

Beliau berkata siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut masih dijalankan dan kertas siasatan akan dilengkapkan dalam tempoh masa yang terdekat.

- Bernama