Skip to main
Logo Malaysiakini

Siklon Gabrielle: New Zealand isytihar darurat

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

GLOBAL | Kerajaan New Zealand pada Selasa mengisytiharkan darurat akibat Siklon Gabrielle yang melanda, lapor Xinhua.

Ini merupakan kali ketiga darurat diisytiharkan di New Zealand.

Langkah kecemasan sedang dilaksanakan susulan gangguan bekalan elektrik, pembatalan penerbangan dan penutupan sekolah di enam wilayah Pulau Utara termasuk Auckland, bandar terbesar di New Zealand.

"Cuaca seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini hingga memberi kesan di sebahagian besar Pulau Utara," kata Menteri Pengurusan Kecemasan Kieran McAnulty selepas menandatangani deklarasi pagi Selasa.

Pengisytiharan itu akan dikuatkuasa di enam wilayah yang telah mengisytiharkan darurat tempatan pada Isnin.

Langkah itu akan membolehkan kerajaan menyokong wilayah yang terjejas, menyediakan sumber tambahan yang diperlukan dan menetapkan keutamaan respons di seluruh negara, kata McAnulty.

"Keadaan darurat membenarkan pihak berkuasa untuk menggunakan sumber di seluruh negara bagi menyokong tindak balas peringkat nasional," katanya.

Auckland dan wilayah bersebelahan Waikato dilanda hujan lebat dan banjir pada dua minggu lepas.

Kerajaan telah meminta penduduk menyediakan beg pasir untuk menampan kediaman mereka, menyimpan makanan dan air, dan bersedia untuk pemindahan dalam beberapa hari akan datang.

Perdana Menteri New Zealand Chris Hipkins menggesa orang ramai "mengambil serius amaran cuaca buruk" dan "duduk di rumah serta membatalkan semua perjalanan yang tidak perlu."

Kerajaan New Zealand mengumumkan Pakej Sokongan Komuniti bernilai 11.5 juta dolar New Zealand (US$7.25 juta) pada Isnin untuk membantu mereka yang terjejas akibat banjir dan persediaan untuk bertindak balas terhadap Siklon Gabrielle.

Lebih 25,000 orang telah diberi bantuan makanan, pakaian, tempat tinggal dan ubat-ubatan.

- Bernama