Skip to main
Logo Malaysiakini

PM perlu ambil berat spekulasi mogok pekerja kesihatan - MMA

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) hari ini menggesa Putrajaya mengambil serius khabar angin bahawa pekerja penjagaan kesihatan akan melakukan mogok kerana kekecewaan mereka dengan tekanan yang dihadapi oleh sistem penjagaan kesihatan Malaysia.

Walaupun MMA tidak membenarkan sebarang mogok, Presiden MMA Dr Muruga Raj Rajathurai berkata pihaknya memahami kekecewaan dan keletihan dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan berhubung isu yang tidak dapat diselesaikan selama bertahun-tahun.

“Isu yang mereka hadapi bukanlah perkara baru, ia sudah wujud sejak bertahun-tahun dan dengan sedikit atau tiada perubahan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

"Masih tidak cukup jawatan tetap untuk memberi doktor pekerjaan yang selamat secara kontrak. Kemudahan penjagaan kesihatan awam kami masih terlalu sesak, masih terdapat kekurangan tenaga kerja dan kebanyakan petugas penjagaan kesihatan dibebani terlalu banyak kerja dan bergaji rendah.

"Isu-isu ini telah dibangkitkan dalam beberapa mesyuarat dengan Kementerian Kesihatan dan pelbagai kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh MMA selama ini dan bahkan baru-baru ini juga," tambah Muruga (gambar, atas).

Pekerja penjagaan kesihatan masih berdepan kesusahan walaupun negara telah melihat perubahan dalam pentadbiran dalam tempoh empat tahun lalu, katanya.

Menurut Muruga lagi, perkara ini telah membawa harapan baru kepada pekerja penjagaan kesihatan untuk melihat beberapa perubahan.

Bagaimanapun, jelasnya tiada satu pun daripada pentadbiran terdahulu yang dapat menyelesaikan masalah pekerja penjagaan kesihatan ini.

Justeru, MMA menyeru Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang digelar "reformis" supaya memperbaharui sistem penjagaan kesihatan kerana kini pengerusi PH itu mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

"Isu dalam sistem penjagaan kesihatan adalah akibat daripada dasar yang gagal pada masa lalu. Perdana menteri kini mempunyai peluang untuk membetulkan kesilapan masa lalu dengan pembaharuan.

“Contohnya termasuk pengkomersialan pendidikan perubatan yang telah membawa kepada pertumbuhan sekolah perubatan dan sistem doktor kontrak yang diperkenalkan pada 2016.

“Kami berharap Perdana Menteri sekarang sebagai seorang reformis sendiri, dengan kuasa yang dimilikinya sekarang selepas menunggu lebih 30 tahun, akan membetulkan kesilapan silam.

"Kami ingin mengingatkan perdana menteri bahawa rakyat Malaysia tidak melupakan semua janji yang dibuat untuk meningkatkan penjagaan kesihatan semasa tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 oleh gabungan politiknya dan ahli parlimen yang kini berada dalam kerajaan," kata Muruga.

Beberapa hari lalu, Ahli Parlimen Ipoh Timor Howard Lee telah membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan mogok oleh pekerja penjagaan kesihatan.

Menurut pemimpin DAP itu, dia mengetahui kemungkinan mogok daripada beberapa doktor kontrak dan doktor kerajaan sepenuh masa di seluruh negara.

[Baca berita asal]