Gempa bumi Turkiye: Indonesia bawa keluar warganya dan rakyat M'sia
Indonesia membawa keluar 120 rakyatnya serta dua rakyat Malaysia dan seorang dari Myanmar yang terperangkap di beberapa wilayah dalam kejadian gempa bumi di Turkiye awal minggu lepas.
Menurut Kementerian Luar Indonesia, usaha membawa keluar lima lagi rakyatnya dan tiga rakyat Filipina sedang dilakukakan kakitangan kedutaan republik itu di Ankara.
“Warga Indonesia yang terjejas akibat gempa bumi di Turkiye dianggarkan 500 orang,” kata Menteri Luar Retno Marsudi dalam sidang media.
Setakat Isnin, beliau berkata 10 warganya yang cedera parah telah dirawat di hospital manakala dua yang meninggal dunia iaitu ibu dan anak dikebumikan di bandar Kahramanmaras.
Pasukan Medium Urban Search and Rescue (Musar) Indonesia yang terdiri daripada 65 anggota kini sedang mencari mangsa ditimbunan runtuhan bangunan di Antakya, wilayah Hatya.
Seramai 119 anggota Pasukan Perubatan Kecemasan turut dihantar pada Isnin dengan membawa 18 tan peralatan kesihatan, hospital lapangan dan ubat-ubatan.
Kerajaan Indonesia juga merancang untuk menerbangkan 80 tan bantuan kemanusiaan ke Turkiye dan Syria Sabtu ini yang berupa makanan, selimut, pakaian dan khemah, kata Retno.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai