Skip to main
Logo Malaysiakini

Hajiji: Sokongan BN Pusat kukuhkan k'jaan perpaduan Sabah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata sokongan Barisan Nasional (BN) pusat terhadap Kerajaan Perpaduan di Sabah akan mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan negeri pimpinan beliau.

“Baguslah… jadi ini bermakna kerajaan negeri akan bertambah kukuh dalam konsep Kerajaan Perpaduan yang dipelopori oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Membangun Malaysia Madani di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dua hari lepas bahawa gabungan politik itu menyokong Kerajaan Perpaduan negeri di bawah pimpinan Hajiji.

Menyentuh cubaan menjatuhkan kerajaan negeri sebelum ini, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah itu berkata dalam politik tidak perlu menyimpan perasaan dendam.

“ …yang penting rakyat dan negeri Sabah. Itulah perlunya pemimpin fokus kepada penyatuan rakyat serta pembangunan negeri supaya aktiviti ekonomi kita bertambah rancak dan rakyat akan mendapat manfaat.

“Ini tujuan kita berjuang dan berpolitik,” katanya.

Hajiji juga berkata pihaknya tidak mempunyai masalah jika Ahli Dewan Undangan Negeri Sepanggar Datuk Yakub Khan (gambar, atas) yang juga Timbalan Pengerusi BN Sabah, dipilih mewakili BN dalam barisan Kabinet negeri.

“Kita tidak ada masalah, yang penting ia baik untuk rakyat dan negeri Sabah. Saya terbuka dalam hal-hal seumpama ini kerana niat saya mahu menyejahterakan rakyat sekali gus memajukan negeri ini,” katanya.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Datuk Arthur Kurup (gambar, atas) pula berkata parti itu kekal menyokong kepimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri dan akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan agenda pembangunan negeri dalam Kerajaan Perpaduan.

“Sokongan kami masih kekal dan tidak berubah sejak Ketua Menteri diberikan mandat untuk menerajui pentadbiran Sabah pada tahun 2020,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata keutamaan parti itu adalah memastikan agenda pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Sabah terus meningkat selain isu Perjanjian Malaysia 1963 dapat diselesaikan dengan segera demi kebaikan rakyat.

- Bernama