Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerosakan landasan LRT: K'jaan tunggu laporan sebelum ambil tindakan - Loke

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kementerian Pengangkutan masih menunggu laporan lengkap berhubung landasan kereta api yang rosak berhampiran stesen LRT Bandaraya sebelum memutuskan tindakan seterusnya.

Bagaimanapun, Menterinya Anthony Loke berikrar pesalah di sebalik landasan kereta api yang bengkok itu akan bertanggungjawab.

Kami tidak mahu menentukan atau membuat sebarang kesimpulan sebelum laporan dimuktamadkan.

“Tetapi kita pasti akan sampai kepada puncanya dan mana-mana pihak yang bertanggungjawab terhadap keretakan itu perlu dipertanggungjawabkan,” kata menteri itu pada pelancaran Arts On The Move di Stesen Pasar Seni hari ini.

LRT Laluan Ampang-Sri Petaling mengalami kelewatan kerana masalah dengan jajaran landasan berhampiran stesen LRT Bandaraya pada 27 Jan.

Rapid Rail Sdn Bhd menyatakan bahawa pemeriksaan awal mendapati kekusutan itu berpunca daripada kerosakan pada struktur jejambat yang menyokong landasan kereta api, yang berlaku akibat kerja pembinaan di kawasan berhampiran.

Dalam perkembangan sama, Loke menyentuh harga Express Rail Link (ERL) - kereta api penumpang yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA) dan KL Sentral.

Menteri itu mengakui terdapat aduan mengenai harga tiket yang tinggi, sambil menambah bahawa kementeriannya bersedia berbincang dengan ERL Sdn Bhd untuk meletakkan had harga pada tiket itu.

Loke kemudian berkata dia telahpun mencadangkan kepada syarikat kereta api itu untuk mempertimbangkan pemberian pas kepada penumpang yang kerap menaiki KLIA, termasuk kakitangan lapangan terbang.

“Saya sudah sampaikan perkara ini kepada mereka (ERL) bahawa harganya agak mahal. Saya sedar kakitangan lapangan terbang terpaksa berulang-alik menaiki kereta api yang menelan belanja yang banyak.

“Oleh itu, saya telah mencadangkan untuk memberikan pas bersubsidi kepada pelanggan tetap ERL.

"Kementerian Pengangkutan (MOT) sentiasa bersedia untuk berbincang dengan mana-mana organisasi untuk menambah baik perjalanan awam," katanya.

KPI Prasarana

Loke juga menjelaskan penyamarannya ketika menaiki pengangkutan awam bertujuan untuk memantau keadaan semasa sistem perkhidmatan itu.

Katanya, setakat ini dia sedang memerhatikan Prasarana Malaysia Bhd.

“Mereka mempunyai banyak isu, banyak kerosakan kereta api dan kelewatan yang menyebabkan stesen menjadi sesak.

"Jadi sudah tentu, saya terpaksa melihatnya sendiri tetapi setakat ini, terdapat lebih banyak penambahbaikan dan yang paling penting, lebih banyak usaha untuk menambah baik," kata Loke.

Katanya, bagi mengurangkan isu berulang, MOT telah menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk dipatuhi syarikat rel itu.

Loke berkata dia akan mendedahkan KPI kepada orang ramai tidak lama lagi, menegaskan bahawa bukan sahaja dia dan kementeriannya akan memantau syarikat itu, begitu juga penumpangnya.

"Prasarana diwajibkan membentangkan report mereka, tentang train, bas, lift yang dibaiki, eskalator," katanya.

Menurut Loke, pihaknya akan mendedahkan KPI itu kepada umum supaya penumpang dan media boleh meneliti operasi perkhidmatan itu apabila diperlukan.

Sebelum ini, Prasarana Malaysia Berhad bersama-sama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah diminta oleh menteri itu untuk mengadakan audit mingguan mengenai status penyelenggaraan kemudahan mereka.