Skip to main
Logo Malaysiakini

Muda ingin sertai Sekretariat K'jaan Perpaduan bukan untuk jawatan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata partinya ingin menyertai Sekretariat Kerajaan Perpaduan bukan atas faktor untuk mendapatkan jawatan tetapi untuk menumpukan isu semasa yang penting.

“Keutamaan bagi muda bukan soal jawatan pangkat, tetapi lebih kepada isu semasa dan politik yang penting.

“Jangan lihat politik dalam sudut yang sempit,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, pihaknya ingin membangkitkan isu yang memperjuangkan isu belia dan nasib yang dihadapi oleh golongan B40.

Bagaimanapun, ahli parlimen Muar itu berkata dia akan tetap memberikan sokongan yang padu terhadap kerajaan demi kestabilan politik negara dan rakyat.

“Berkenaan isu Muda dan PH saya akan usahakan secara baik dan kita nak pastikan kita nak bagi sokongan kepada kerajaan supaya rakyat dapat manfaat politik yang stabil, hanya dengan adanya kestabilan akan ada kemakmuran.

“Kalau ada salah faham kita akan bincang secara dalaman,” katanya.

Pada 8 Feb, Setiausaha Agung Muda Amir Abd Hadi berkata, parti itu tidak menerima sebarang jemputan termasuk menerusi surat, mesej atau emel bagi menghadiri mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan sehari sebelum itu.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim kemudian menegaskan mesyuarat yang diadakan di Ibu Pejabat Umno, Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur pada 7 Feb lalu hanya melibatkan parti-parti yang mengasas Kerajaan Perpaduan dan perkara itu sudah dijelaskan sebelum ini.

Anwar juga mengumumkan bahawa semua parti dalam kerajaan telah memberikan komitmen mereka untuk bekerjasama dalam pilihan raya negeri di enam negeri yang akan datang.

Selain Muda, Parti Keharmonian Sosial Demokratik (KDM) yang berpangkalan di Sabah juga tidak diwakili pada mesyuarat tersebut.

Ini menyebabkan presiden PBM, Larry Sng mencadangkan parti-parti kecil dan penyokong kerajaan perpaduan membincangkan kemungkinan kerjasama sebagai satu blok.