MP saran penyenaraian IPO Petronas, bantu kurang hutang negara
PARLIMEN | Kerajaan boleh mengkaji kemungkinan menyenaraikan tawaran awam permulaan (IPO) Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sebagai salah satu cara mengumpul wang
Seorang Ahli Parlimen menyarankan kerajaan mengkaji kemungkinan menyenaraikan tawaran awam permulaan (IPO) Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sebagai salah satu cara mengumpul wang bagi membantu mengurangkan hutang negara.
Wong Chen (PH-Subang) ketika perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini berkata penyenaraian Petronas itu akan memberikan suntikan tunai yang besar bagi mengurangkan hutang negara, menyediakan lebih ketelusan kewangan dan tadbir urus yang lebih baik kepada syarikat minyak dan gas negara, sekali gus meningkatkan hasil fiskal keseluruhan bagi kerajaan.
“Saya percaya sekiranya Petronas diurus sebagai satu syarikat dengan piawaian tadbir urus antarabangsa yang tinggi, purata keuntungan syarikat itu akan melebihi RM60 bilion setahun dan boleh mencecah RM100 bilion setahun,” katanya pada sesi perbahasan hari ini.
Katanya, peningkatan ini boleh menolong mengurangkan hutang negara ke tahap lebih kurang 30 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam masa 10-15 tahun.
“Perkiraannya telah dibuat, kita akan lihat dengan penyenaraian Petronas, saham 20 peratus yang dijual kepada awam, kita boleh menaikkan RM300 billion perolehan dan tingkatkan pendapatan tambahan kepada RM60 bilion setahun.
“Jika kita membayar (hutang) semua ini, hutang negara boleh diturunkan ke paras terkawal 30 peratus KDNK, oleh itu saya menyeru kerajaan membuat satu kajian terperinci segera sebelum faktor seperti perubahan iklim memudaratkan penilaian aset-aset Petronas,” katanya.
Beliau juga mencadangkan kerajaan mengikut langkah bijak yang dilakukan oleh Arab Saudi melalui penyenaraian Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco) pada tahun 2019.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai