Skip to main
Logo Malaysiakini

MB Johor tanding jawatan ketua Umno Simpang Renggam

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi membuat keputusan untuk menawarkan diri bagi merebut jawatan ketua Umno bahagian Simpang Renggam pada pemilihan Umno yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Onn Hafiz berkata dia membuat keputusan itu setelah mendapat petunjuk serta pandangan pelbagai pihak khususnya membabitkan kedudukannya sebagai menteri besar Johor.

"Saya telah membuat keputusan untuk terus memberi fokus khidmat bakti kepada negeri Johor dan Insya-Allah akan terus berusaha untuk mengukuhkan pentadbiran dan pembangunan negeri Johor.

"Oleh itu, saya tidak akan menawarkan diri untuk jawatan di peringkat pusat tetapi dengan rasa penuh rendah diri ingin menawarkan diri untuk jawatan ketua Umno bahagian Simpang Renggam bagi pemilihan penggal ini.

"Saya akan memberi fokus kepada pentadbiran dan pembangunan di kawasan saya dan seluruh negeri Johor," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Onn Hafiz yang juga exco Pemuda Umno menang kerusi DUN Machap pada pilihan raya negeri (PRN) Johor dan dilantik sebagai menteri besar.

Sebelum ini, pemimpin Umno bahagian Simpang Renggam dilaporkan meminta Onn Hafiz bertanding merebut jawatan ketua Pemuda Umno bagi mengembalikan maruah parti.

Ia sesuai dengan kedudukannya selaku cicit kepada pengasas Umno, Onn Jaafar (gambar, bawah).

Jawatan ketua Umno Simpang Renggam ketika ini disandang Zakaria Dullah.

Untuk rekod, Onn Hafiz antara pemimpin Umno yang menentang pembentukan kerajaan perpaduan Umno dan Pakatan Harapan (PH) selepas BN tewas teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Sementara itu, Onn Hafiz berharap semua pihak boleh menerima keputusannya itu serta perwakilan Umno Simpang Renggam memberi sokongan.

"Semoga keputusan ini diredhai dan dirahmati Allah SWT. Saya merayu dan memohon sokongan dari perwakilan Umno Simpang Renggam," katanya.