Skip to main
Logo Malaysiakini

'Mesej WhatsApp RM2 juta' - Lim tunggu mahkamah beri lampu hijau

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan yang dijadualkan pada awalnya ke 1 Mac susulan permohonan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng untuk mengemukakan mesej daripada aplikasi WhatsApp.

Ia bagi mengukuhkan pembelaannya terhadap kes rasuah yang sedang dijalankan yang dikaitkan dengan projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Ini selepas pasukan peguamnya berkata mereka memerlukan lebih masa untuk mendapatkan jawapan daripada Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung permohonan mereka untuk nota prosiding membabitkan mesej WhatsApp mengenai pembayaran RM2 juta.

Semasa prosiding mahkamah terbuka di hadapan Hakim Azura Alwi, peguam bela utama Gobind Singh Deo berkata pihaknya masih menunggu mahkamah Shah Alam untuk menjawab permohonan mereka untuk mendapatkan nota prosiding yang dikaitkan dengan mesej itu.

"Kami memerlukan nota prosiding daripada Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk menyokong permohonan kami di sini," kata peguam itu kepada Azura.

Gobind berkata nota prosiding itu penting bagi mengukuhkan hujah mereka bahawa saksi pendakwaan tidak bercakap benar mengenai tujuan pembayaran RM2 juta yang disebut dalam perbualan WhatsApp pada 23 Julai 2017.

Perbualan itu dikatakan antara dua lagi saksi pendakwaan dalam kes terhadap Lim, iaitu pengarah eksekutif kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan ahli perniagaan G Gnanaraja.

Gobind berhujah bahawa Zarul - dalam perbicaraan kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini terhadap Gnanaraja - telah mendakwa RM2 juta itu untuk orang lain dan bukan untuk Lim.

Gnaraja dan Zarul.

Bagaimanapun dalam perbicaraan rasuah yang sedang dijalankan terhadap Lim di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zarul memberi keterangan bahawa RM2 juta - yang dirujuk sebagai 'cokelat' - adalah sebahagian daripada sogokan untuk Lim yang dikaitkan dengan projek terowong dasar laut semasa tertuduh memegang jawatan sebagai ketua menteri Pulau Pinang.

Kes Mahkamah Sesyen Shah Alam pada mulanya melibatkan Gnanaraja yang didakwa menipu Zarul. Bagaimanapun pada Disember 2020, Gnanaraja mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 218(1)(A) Akta Syarikat 2016, dan didenda RM230,000.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin hari ini tidak mengemukakan bantahan terhadap permohonan penangguhan oleh Gobind, mencadangkan agar perbicaraan ditangguhkan kepada 3 Mac.

Pendakwaan berkata ini akan memberi lebih masa untuk kedua-dua pihak memfailkan afidavit baru.

Azura kemudian menangguhkan prosiding hari ini ke 1 Mac.

Lim dibicarakan atas empat pertuduhan rasuah.

Lim, 62, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Lim, juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

[Baca berita asal]