Peguam: Mahkamah Koroner putuskan Vinosiny maut akibat renjatan elektrik
Mahkamah Koroner di Alor Setar membuat keputusan inkues bahawa pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) S Vinosiny meninggal dunia akibat renjatan elektrik, kata peguam keluarga itu, yang mengesahkan spekulasi awal mengenai kematiannya.
Bagaimanapun, peguam M Manoharan mendakwa inkues kematian siswi berusia 20 tahun itu dilakukan tanpa pengetahuan keluarga.
Keputusan ini, katanya, juga bercanggah dengan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin semalam bahawa polis masih belum menyelesaikan siasatan mereka terhadap kematian siswi itu.
Dalam jawapan bertulis parlimen kepada soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau, Khaled juga berkata kementerian belum dimaklumkan mengenai hasil siasatan.
Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam M Manoharan (gambar, atas) mengkritik ahli parlimen dan menteri itu kerana kenaifan mereka berhubung isu itu.
“Kenapa menteri kata siasatan polis masih diteruskan? Nampaknya inkues telahpun selesai,” katanya.
Manoharan berkata Mahkamah Sesyen Alor Setar mengeluarkan surat bertarikh 1 Feb sebagai jawapan kepada inkuiri bapa Vinosiny, R Sivakumar, pada 31 Jan.
Surat itu menyatakan: "Setelah merujuk permohonan pihak tuan kepada Puan Hakim Koroner, keputusan Mahkamah bertarikh 25 Januari 2023 bagi kes ini ialah mendiang S Vinosiny meninggal dunia akibat kemalangan yang disebabkan oleh electrocution."
Inkues rahsia?
Manoharan mendakwa inkues itu dijalankan secara rahsia bulan lepas dan keluarga hanya dimaklumkan mengenai punca kematian selepas membuat permohonan.
“Nampaknya, inkues dijalankan tanpa pengetahuan sesiapa termasuk keluarga. Semuanya dilakukan dalam sehari.
“Ahli keluarga tidak dipanggil sebagai saksi. Mereka terkejut dengan pemberitahuan itu selepas siasatan (koroner),” katanya.
Dia seterusnya menyoal sama ada mahkamah telah memanggil sesiapa untuk memberi keterangan atau tidak, serta mengapa ahli keluarga si mati tidak dipanggil sebagai saksi.
“Saya terkejut dan terperanjat dengan keputusan tersebut dan keputusan itu dibuat tanpa keluarga diberi peluang untuk didengari (oleh koroner).
“Peraturan audi alteram partem (hak untuk didengar) telah diabaikan dan dilanggar sama sekali.
“Saya tidak pernah mendengar inkues yang dijalankan dan dimuktamadkan tanpa siasatan yang sewajarnya dan tanpa memanggil saksi. Ini mengejutkan dan mengganggu,” dakwanya.
Malaysiakini sedang menghubungi Kementerian Pengajian Tinggi untuk mendapatkan penjelasan.
Fail saman sivil
Manoharan berkata dia telah menerima arahan daripada keluarga untuk meneruskan memfailkan tindakan sivil bagi menuntut ganti rugi atas sebab kematian Vinosiny terhadap UUM, kerajaan, polis dan peguam negara kerana didakwa mengacau inkues.
"Kami juga telah menulis surat untuk meminta nota prosiding inkues dan alasan serta mengkajinya sebelum difailkan," tambahnya.
Pada 21 Mei tahun lalu, Vinosiny meninggal dunia seminggu selepas dia kembali ke kampus di Sintok, Kedah.
Bapa mendiang, R Sivakumar berkata dia menerima panggilan daripada pengurusan UUM kira-kira jam 3 petang pada hari kejadian dan diberitahu Vinosiny ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam biliknya.
Dia mendakwa bahawa pemanggil itu tidak memperjelaskan tentang apa yang berlaku dan dia hanya diberitahu bahawa anak perempuannya telah meninggal dunia selepas bertanya jika terdapat tanda-tanda dia masih.
Sivakumar memberitahu Malaysiakini pada tahun lalu bahawa mayat anak perempuannya mempunyai kesan melecur yang jelas di muka dan tangan kanan dengan dua jarinya berwarna ungu kehitaman ketika doktor menunjukkan jenazahnya di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah.
UUM dituduh tidak begitu mahu menolong menjelaskan keadaan kematian Vinosiny. Bagaimanapun, pihak universiti memohon maaf kepada keluarga itu pada 31 Mei tahun lalu dan berikrar memberi kerjasama penuh kepada keluarga untuk mengetahui perkara sebenar.
Keluarga itu juga menggesa pihak berkuasa pada Oktober untuk membuka inkues terhadap kejadian itu selepas lima bulan menunggu penjelasan mengenai kematian Vinosiny.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai