Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Harga barang melonjak angkara rasuah?

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | Penyusutan mata wang dalam kebanyakan ekonomi membangun mendorong kenaikan harga makanan dan bahan api yang boleh memburukkan lagi krisis makanan dan tenaga yang telah dialami di kebanyakan negara di dunia.

Situasi tersebut dilaporkan Buletin Pasaran Komoditi Bank Dunia pada Oktober tahun lalu, yang menunjukkan harga kebanyakan komoditi utama dari segi dolar telah merosot hingga paras kemuncaknya.

Ini berlaku berikutan kebimbangan kemelesetan global yang akan berlaku sejak pencerobohan Rusia terhadap Ukraine pada Februari 2022 hingga akhir bulan lepas, yang mana harga minyak mentah Brent dalam dolar AS jatuh kira-kira 6 peratus.

Tetapi disebabkan susutnya nilai mata wang, hampir 60 peratus daripada pasaran baru muncul pengimport minyak dan ekonomi yang menyaksikan harga minyak meningkat dalam terma mata wang tempatan dalam tempoh ini.

Dalam pada itu, kira-kira 90 peratus daripada ekonomi ini juga mengalami kenaikan harga gandum yang lebih besar dalam mata wang tempatan berbanding dolar AS.

Kenaikan harga komoditi tenaga yang merupakan antara keperluan pengeluaran pertanian membawa kepada kenaikan harga bahan makanan. Dalam tempoh tiga suku pertama 2022, inflasi harga makanan di Asia Selatan secara puratanya lebih daripada 20 peratus.

Manakala kadar inflasi makanan di negara lain, termasuk Amerika Latin dan Caribbean, Timur Tengah dan Afrika Utara, Afrika sub-Sahara, dan Eropah Timur dan Asia Tengah berjulat purata antara 12 dan 15 peratus.

Asia Timur dan Pasifik adalah satu-satunya rantau di mana inflasi harga makanan merosot, sebahagiannya disebabkan oleh harga beras yang secara amnya stabil, yang merupakan makanan ruji di rantau ini.

Sorok-sorok bawah meja

Boleh jadi harga barang naik melonjak di beberapa sektor adalah disebabkan oleh gejala rasuah yang berleluasa.

Satu siasatan mendedahkan bahawa gejala rasuah berlaku dalam beberapa pentadbiran awam bagi memudahkan urus niaga perkhidmatan, yang menjadi kos tambahan yang membebankan rakyat yang terlibat.

Salah satu hasil ‘fenomena’ ini adalah pelaksanaan projek yang kurang berkualiti, kerana kadang-kadang ia tertakluk kepada kaedah ‘sorok-sorok’ dari bawah meja, dan harga untuk itu dibayar terlalu tinggi melalui rancangan sesebuah kesepakatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Dr Tricia Yeoh (gambar, atas) berkata perkara itu dibuktikan menerusi satu kertas kerja oleh Coalition for Business Integrity (CBI) yang mengenal pasti bahawa proses pembekalan barangan dan perkhidmatan yang mempunyai unsur rasuah akan menyebabkan peningkatan kos.

“Ekoran kos pengurusan perniagaan yang semakin meningkat, kesannya terpaksa ditanggung oleh rakyat sebagai pengguna akhir.”

Menurut beliau, hasil dapatan daripada kertas kerja itu juga mendedahkan bagaimana rasuah memberi kesan kepada kos sara hidup pengguna melalui penciptaan tekanan menaik ke atas harga barangan dan perkhidmatan pengguna.

“Penyelidikan kolaboratif ini mendapati bagaimana rasuah sistemik bukan suatu yang hanya memberi kesan kepada peringkat tertinggi masyarakat, malah sebenarnya ia turut memberi kesan negatif kepada kehidupan seharian rakyat melalui inflasi buatan sehingga meningkatkan kos sara hidup.

Tambahnya lagi, dengan tumpuan pada sektor pembinaan, pendidikan dan penjagaan kesihatan, penyelidikan dilakukan oleh IDEAS dan CBI ini juga mendapati bahawa pemberian habuan adalah satu bentuk rasuah yang paling biasa dalam sektor swasta dan awam.

“Perbuatan rasuah juga menyumbang kepada tahap inflasi harga yang lebih tinggi serta menekan pendapatan orang ramai, sekali gus menggalakkan lebih banyak rasuah yang membawa kepada kitaran ganas penindasan terhadap rakyat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CBI, Mark Chay.

Menurutnya lagi, salah satu sebab punca kos sara hidup naik adalah disebabkan oleh rasuah apabila perkara itu berkait rapat dengan isu kos melaksanakan perniagaan.

“Ini berlaku apabila urusan perniagaan diselitkan dengan keperluan untuk merasuah, malah perbuatan jijik rasuah ini dikira sebagai kos pengurusan perniagaan.”

Kesan rasuah

Di samping itu, siasatan turut dilakukan IDEAS dan CBI untuk mengetahui sebab-sebab penularan fenomena itu, terutamanya dalam aspek penguasaan sektor awam ke atas aktiviti ekonomi, dan kemungkinan pemintasan undang-undang untuk menghalang dan memeras ugut terhadap sesuatu urus niaga yang berlaku.

Antara sebab berlakunya rasuah adalah kerana ketiadaan akauntabiliti, pemantauan yang lemah dan kurangnya pencegahan yang mencukupi.

Ini menjadikan mereka yang lemah akalnya kebal daripada sebarang akauntabiliti dan pengambilan pemimpin sebahagiannya berlandaskan nepotisme mahupun kroni, sehingga perasuah merasakan bahawa ia dapat melarikan diri daripada hukuman dengan mudah kerana ia dilindungi dari segi politik.

Akibatnya, berlakulah kenaikan harga barang kerana sektor swasta tidak menanggung kos yang ia bayar secara ‘palsu atau menipu’ ke atas harga barang dan perkhidmatan, hinggakan rakyat yang terpaksa menanggungnya.

Oleh yang demikian, rasuah juga menghalang atau membantutkan pembangunan ekonomi secara menyeluruh, sama ada di peringkat sektor awam atau swasta.

Rasuah juga mengehadkan keupayaan sektor swasta untuk menguruskan pelaburan baharu, dan jika ia berisiko berbuat demikian dalam beberapa projek, ia menjadikan kosnya menjadi sangat tinggi.

Terdapat sektor swasta terpaksa mengelak pelaburan kerana rasuah dan mencari tempat alternatif agar tidak diperas oleh sesetengah pihak melalui rasuah atau salah guna kuasa.

Rasuah sektor awam jejas swasta

Kerana rasuah, kerajaan tidak dapat melaksanakan projeknya pada kos sebenar, berlaku pembaziran wang awam dan pekerjaan baru tidak dapat diwujudkan.

Rasuah dalam sektor awam telah menjejaskan kerja di sektor swasta, dan ia membawa kepada kelewatan menyiapkan projek, malah tergendala dalam pelaksanaannya.

Selain itu, rasuah akan meningkatkan kos sektor awam akibat daripada jumlah pesanan perubahan yang banyak dan juga akibat kos penyelenggaraan yang tinggi selepas tamat tempoh penyelenggaraan percuma.

Gambar hiasan.

Kebiasaannya penyelenggaraan radikal dalam tempoh yang singkat perlu dilakukan dalam tempoh yang singkat akibat daripada pelaksanaan yang lemah bagi beberapa projek, dan ini berlaku walaupun wujudnya piawaian, keperluan dan penelitian oleh Jawatankuasa Tender Pusat.

Oleh itu, amalan rasuah dan salah guna kuasa telah mengganggu persaingan sihat, menyekat pembangunan sektor swasta, menyebabkan halangan kemasukan para pelabur asing, menjejaskan penyampaian perkhidmatan awam yang efisien serta menghasilkan perbelanjaan kerajaan yang tidak cekap.

Ini jelas menunjukkan bahawa rasuah adalah fenomena yang merosakkan, bukan sahaja kepada diri tetapi juga generasi dan negara.

Tegas banteras rasuah

Sewajarnya kita harus mengelak daripada membuat generalisasi, kerana masih terdapat ramai orang yang ikhlas dan jujur ​​dalam sektor kerajaan, dan terdapat banyak syarikat swasta yang bekerja dengan integriti dan kejujuran.

Tetapi, ini tidak menafikan berlakunya penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam sektor awam sebagaimana yang disahkan oleh indeks integriti global.

Walaupun terdapat banyak pihak dalam sektor swasta yang enggan terlibat dalam ‘jenayah’ ini dan bekerja keras untuk mengelakkannya, tetapi kadang-kadang pihak dalam swasta terdedah kepada tekanan, yang memaksa mereka terjebak melakukannya.

Keberkesanan memerangi ‘virus’ rasuah ini terletak kepada kehadiran para pemimpin yang mempunyai kekuatan dan kejujuran dari segi pengetahuan, pengalaman, kecerdasan dan kepimpinan, keikhlasan dan integriti untuk menanganinya.

Membanteras rasuah juga memerlukan pengaktifan peranan penyeliaan, pengauditan dan penyiasatan yang tegas, sama ada dalam sektor awam dan swasta, khususnya melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kempen kesedaran dan pendidikan terhadap bahaya rasuah perlu diperluaskan kepada masyarakat agar jenayah ini dapat dijauhi daripada terus berakar umbi.

Oleh itu, pihak berkuasa dengan kerjasama pelbagai pihak daripada agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu melakukan usaha yang serius untuk memerangi rasuah dan seharusnya kerajaan mengisytiharkan perang terhadapnya.

Tidak ada negara di dunia yang selamat dengan rasuah dan tidak ada negara yang tidak rosak kerana rasuah. Namun, terdapat perbezaan antara negara yang memerangi rasuah dan mengikutinya.

Maka, segeralah hapuskan jenayah rasuah ini dari pelbagai sudut demi kemakmuran negara tercinta.


ATRIZA UMAR ialah Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media Pertubuhan Ikram Malaysia.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.