Skip to main
Logo Malaysiakini

PANDUANKINI | Dari tutup total ke tutup separa: Lynas sesudah 11 tahun

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan melanjutkan lesen operasi untuk kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas, di Gebeng, Kuantan sehingga 3 Mac 2026.

Bagaimanapun, syarikat itu mesti memindahkan kemudahan pemecahan dan larut lesap (cracking and leaching) ke luar negara sebelum Julai.

Ini bermakna loji pemprosesan itu mungkin menghadapi penutupan separa dan tidak akan dibenarkan menghasilkan sisa radioaktif di Malaysia.

Sejak loji itu dibina pada 2012, masyarakat sivil telah membantah kehadirannya kerana potensi bahaya yang ditimbulkannya kepada penduduk.

Dalam edisi Panduankini ini, Malaysiakini menyorot semula isu Lynas.

Latar belakang

Lynas Rare Earth ialah sebuah syarikat perlombongan Australia.

Pada 2008, pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi meluluskan cadangan untuk membina kilang pemprosesan unsur nadir bumi di Kawasan Perindustrian Gebeng.

Selepas bijih lantanida dibawa dari Australia Barat ke Kuantan, ia diproses menjadi produk lantanida.

Produk nadir bumi oleh Lynas merupakan sumber strategik untuk Amerika Syarikat, Australia dan Jepun, yang digunakan dalam pembuatan telefon pintar, kereta elektrik, enjin untuk jet tentera dan lain-lain.

Lynas, yang kilangnya telah beroperasi sejak 11 tahun lalu, turut diberi pengecualian cukai selama 12 tahun. Dengan kata lain, ia tidak membayar satu ringgit pun cukai selama lebih sedekad.

Mengapakah gerakan anti-Lynas bermula?

Selepas bijih lantanida dipindahkan ke kilang pemprosesan di Gebeng, ia menjalani prosedur penting "memecah dan larut lesap".

Proses "memecah" merujuk kepada penapisan unsur nadir bumi daripada lantanida pekat dengan asid sulfurik suhu tinggi di bawah tekanan atmosfera yang tinggi.

Kemudian, air dilarutkan untuk menghasilkan larutan lantanida sulfat.

Semasa proses itu, sisa Penulenan Air Larut lesap (WLP) yang mengandungi bahan radioaktif terhasil.

Menurut laporan Penilaian Impak Radiologi (RIA) yang disediakan oleh Lynas, sisa WLP terdiri daripada dua bahan radioaktif yang tidak stabil, iaitu torium (Th) dan uranium (U), serta progeny-nya.

Sebagai contoh, kepekatan aktiviti untuk U-238 dan Th-232 dalam sisa WLP ialah masing-masing 0.33±0.07Bq/g dan 6.3±0.4Bq/g.

Berdasarkan piawaian Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), sisa WLP dianggap sisa radioaktif kerana ia mengandungi lebih daripada 1Bq/g Th-232.

Kumpulan alam sekitar dan masyarakat sivil bimbang bahawa pencemaran radiologi mungkin berlaku di kawasan Kuantan, yang berpotensi membahayakan kesihatan penduduk.

Sebagai contoh, laporan Lynas RIA mendapati air bawah tanah berhampiran kilangnya mempunyai tahap radioaktiviti yang tinggi manakala unsur radioaktif ditemui pada ikan dari sungai berhampiran.

Bagaimanapun, Lynas dan pakar bertegas bahawa operasi itu tidak akan membahayakan pekerja dan penduduk kerana "tahap radioaktiviti yang dihasilkan adalah kurang daripada kesan imbasan sinar-X".

Pada 2012, dilaporkan bahawa Lynas bersetuju untuk mengeksport sisa radioaktif ke tempat lain dan hal ini disahkan olehMenteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapa Mohamed; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Maximus Ongkili; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Douglas Uggah Embas dan Menteri Kesihatan ketika itu Liow Tiong Lai dalam satu kenyataan media bersama.

Bagaimanapun, Lynas menafikan bersetuju dengan syarat tersebut.

Siapa yang menentang kilang Lynas?

Kumpulan seperti Save Malaysia Stop Lynas dan Green Rally adalah penggerak utama gerakan anti-Lynas.

Mereka menganjurkan protes, memulakan petisyen untuk mengumpul satu juta tandatangan, membuat lawatan ke Australia untuk mengadakan protes di ibu pejabat Lynas dan mengadakan "himpunan hijau" sejauh 300km dari Kuantan ke bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Apabila peserta "himpunan hijau" tiba di Dataran Merdeka, kira-kira 20,000 orang menyertai aktivis terbabit untuk bermalam di Dataran Merdeka.

Pemimpin PKR Pahang seperti Fuziah Salleh (bekas MP Kuantan dan sekarang senator), Lee Chean Chung (bekas Adun Segambu, sekarang MP Petaling Jaya), pemimpin DAP Pahang seperti Wong Tack (bekas MP Bentong), Lee Chin Chen (bekas Adun Ketali, sekarang Adun Bilut) adalah antara pengkritik yang lantang.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Presiden Amanah, Mohammad Sabu dan pemimpin PH lain terlibat dalam petisyen menuntut penutupan kilang itu.

Dalam “Manifesto Rakyat” pada 2013, Pakatan Rakyat (Sebelum PH) berkata ia tidak akan membenarkan Lynas beroperasi di Malaysia jika gabungan itu memenangi pilihan raya umum.

Bagaimanapun, “Manifesto PH” pada 2018 tidak menyebut mengenai Lynas. Sebaliknya, gabungan itu berjanji bahawa "projek kontroversi yang diluluskan atau sedang berjalan akan dikaji semula untuk memastikan ia mematuhi piawaian yang ditetapkan".

Begitu juga, manifesto gabungan itu pada pilihan raya umum 2022 juga tidak menyebut mengenai Lynas.

Adakah PH berubah pendirian selepas berkuasa?

PH dan penentang Lynas dilihat mengubah pendirian mereka daripada menuntut penutupan terus kilang tersebut kepada memindahkan "kemudahan pemecahan dan larut lesap" keluar dari Malaysia dan supaya firma itu membina kemudahan pelupusan kekal (PDF) untuk menyimpan sisa radioaktif yang dihasilkan sejak 2012.

Pada mulanya, Lynas dikehendaki memindahkan sisa radioaktif WLP ke luar Malaysia. Ia adalah syarat lesen yang ditetapkan oleh bekas menteri tenaga dan alam sekitar, Yeo Bee Yin. Dia berkata Lynas telah berjanji untuk melakukan perkara itu apabila ia mula beroperasi pada 2012.

Bagaimanapun, perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, tidak bersetuju, menyebabkan Yeo berasa kecewa, yang kemudiannya dinyatakan dalam memoirnya bertajuk “The Unfinished Business”.

Dia mendedikasikan keseluruhan bab tersebut untuk mengulas isu ini.

Mahathir Mohamad

Mahathir berkata jika Lynas berjanji untuk "membersihkan" bahan mentah sebelum mengimportnya, dan oleh itu mengurangkan tahap radioaktiviti, maka ia boleh meneruskan operasinya di Malaysia.

Sejak itu, pendirian PH telah beralih daripada "mengalihkan sisa radioaktif" kepada "memindahkan kemudahan pemecahan dan larut lesap ke tempat lain".

Pada 2018, syarat yang dikenakan pentadbiran PH pimpinan Mahathir termasuk memindahkan proses “memecah dan larut lesap” dari Malaysia mulai Julai 2023 dan membina PDF untuk menyimpan sisa radioaktif WLP.

Pada tahun 2022, kerja pembinaan PDF di Kawasan Perindustrian Gebeng bermula.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ialah pemegang saham terbesar dalam Gading Senggara Sdn Bhd (GSSB), yang merupakan kontraktor utama untuk PDF.

Ayahanda baginda, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, ialah Yang di-Pertuan Agong sekarang.

Perancangan asal Lynas adalah untuk membina PDF di Bukit Ketam, Mukim Kuala Kuantan tetapi EIA untuk tujuan itu telah ditolak oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada April.

Lynas juga merupakan penyokong pembinaan PDF Bukit Ketam manakala GSSB juga adalah kontraktor untuk projek tersebut.

Sementara itu, Lynas telah memfailkan permohonan dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk membatalkan syarat untuk memindahkan kemudahan "memecah dan larut lesap" ke luar negara.

Bagaimanapun, ia sangat "mengecewakan" firma itu apabila kerajaan enggan berbuat demikian.

Memandangkan dakwaan berlakku lobi sengit daripada kuasa asing dan pihak lain bagi pihak Lynas, masih perlu dilihat sama ada Anwar dan kerajaannya dapat memastikan syarat itu dipenuhi sebelum tarikh akhir.

Chang Lih Kang

Bermula Julai, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata Lynas tidak akan dapat menjalankan prosedur "memecah dan larut lesap" atau mengimport lantanida pekat dari Australia.

Bagaimanapun, firma itu boleh memfailkan rayuan dalam tempoh 30 hari.