Pelajar sekolah, OKU nikmati perjalanan percuma KTMB
Pelajar sekolah dan warga Orang Kurang Upaya (OKU) kini boleh menikmati perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) secara percuma sepanjang masa menerusi pas perjalanan tanpa had MyRailLife yang dilancarkan hari ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata pas perjalanan percuma MyRailLife itu khusus untuk pelajar sekolah tahun satu hingga tingkatan enam serta OKU bagi perkhidmatan KTM Shuttle Timuran Sektor Gemas-Tumpat-Gemas, KTM Komuter Sektor Lembah Klang dan KTM Komuter Sektor Utara.
“Selain memanfaatkan pelajar sekolah dan OKU, pas ini dapat meringankan beban kewangan ibu bapa selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengawal kos sara hidup,” katanya pada sidang media pelancaran MyRailLife di stesen KL Sentral di Kuala Lumpur.
Menurut Loke, MyRailLife boleh digunakan tanpa had bagi pelajar sekolah dan golongan OKU yang telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Katanya, MyRailLife yang melibatkan kos RM4 juta setahun berkuat kuasa semalam dan mencatat 320 pendaftaran di seluruh negara pada hari pertama.
Beliau berkata jika sebelum ini, seorang OKU misalnya yang menetap di Alor Setar, Kedah dan bekerja di Butterworth, Pulau Pinang menaiki perkhidmatan komuter pergi dan balik dari stesen Alor Setar ke Butterworth, beliau perlu membelanjakan tambang perjalanan RM7.20 sehari dan RM180 sebulan untuk kos pengangkutan.
“Dengan adanya pas MyRailLife, beliau mendapat penjimatan perbelanjaan pengangkutan itu,” katanya.
Beliau berkata bagi menikmati faedah MyRailLife, pengguna yang layak perlu mendaftar dengan KTMB untuk mendapatkan nombor Passenger Name Record atau PNR terlebih dahulu.
“Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi KITS (KTMB Mobile) atau melayari laman sesawang KTM,” kata Loke dan menambah bahawa pengguna juga boleh mendaftar PNR untuk mendapatkan MyRailLife di kaunter KTMB.
Permohonan pendaftaran PNR boleh dilakukan oleh penumpang atau bagi pihak penumpang dengan mengemukakan dokumen berkaitan.
Loke berkata pelajar tahun satu hingga tingkatan lima perlu mengemukakan salinan asal Mykad/ Mykid/sijil lahir, sementara pelajar tingkatan enam perlu mengemukakan salinan asal Mykad/Mykid/sijil lahir berserta borang pengesahan pelajar dari sekolah pelajar berkenaan.
“OKU perlu mengemukakan salinan asal Mykad/Mykid/sijil lahir berserta salinan asal kad pendaftaran OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Negara mewakili golongan OKU Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang turut hadir pada majlis hari ini, berterima kasih kepada Loke atas kemudahan berkenaan yang memudahkan OKU bekerja dan ke sekolah.
“Sahabat OKU diseru supaya mengambil kesempatan ini dan tonjolkan kita sama seperti masyarakat yang lain,” kata Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu.
Sementara itu, KTMB dalam kenyataannya memaklumkan pelaksanaan pas percuma MyRailLife dijangka dapat mengurangkan kos pengangkutan kepada 500,000 pelajar sekolah dan OKU setahun yang menggunakan perkhidmatan KTM Komuter sektor Lembah Klang dan utara serta perkhidmatan Shuttle Timuran.
Menurut KTMB, lebihan tren susulan penangguhan sementara perkhidmatan tren Skypark Link mulai semalam membolehkan penambahbaikan jadual waktu perkhidmatan KTMB sektor utara laluan Padang Besar ke Butterworth mulai 18 Feb (Sabtu ini) melalui peningkatan kekerapan perjalanan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai