Skip to main
Logo Malaysiakini

Lynas kesal jadi sasaran, dakwa ramai akan hilang kerja

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Lynas Malaysia Sdn Bhd menyatakan rasa kesal kerana menjadi sasaran oleh kerajaan walaupun mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Syarikat itu berkata ratusan pekerjaan akan hilang secara langsung jika ia terpaksa menutup kemudahan pemecahan dan larut lesapnya (cracking and leaching), dan ribuan lagi masyarakat sekitar akan turut terjejas.

“Kami tidak faham mengapa Lynas jadi sasaran oleh Menteri apabila Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) mengawal selia banyak syarikat di Malaysia yang, seperti Lynas, memproses mineral yang mengandungi bahan radioaktif (Norm) yang berlaku secara semula jadi dan menguruskan sisa yang terhasil, ” kata pengurus besar keselamatan radiasi syarikat itu, Ismail Bahari.

Dia menegaskan industri lain yang melibatkan pengendalian Norm termasuk perlombongan bijih timah dan pasir mineral, pemprosesan amang (tailing timah), dan minyak serta gas.

“Selain itu, empat ulasan saintifik, termasuk dua ulasan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Jawatankuasa Semakan Eksekutif (ERC) pada 2018 oleh bekas Menteri Pakatan Harapan (PH) Yeo Bee Yin, mendapati Lynas berisiko rendah dan mematuhi peraturan.

“ERC (Yang ditubuhkan) Pakatan Harapan tidak mengesyorkan penutupan loji pemecahan dan larut lesap,” katanya dalam satu kenyataan.

Ismail menjawab dakwaan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang yang mengatakan "tiada pihak yang berhak untuk terus menghasilkan sisa radioaktif di tanah air kita".

Pada Selasa lalu, AELB dilaporkan bersetuju untuk memperbaharui lesen Lynas selama tiga tahun mulai 3 Mac, tetapi agensi itu tidak akan menghapuskan syarat yang ditetapkan sejak Mac 2020 di bawah kerajaan PH.

Paling dipertikaikan daripada empat syarat ini ialah larangan import dan pemprosesan lantanida pekat selepas 1 Julai 2023, yang secara berkesan memaksa komponen penapisan Lynas di Gebeng, Pahang, ditutup.

Ini disebalik lobi Lynas dan negara asing untuk membenarkan Lynas meneruskan operasi fasilitinya, yang merupakan yang terbesar di luar China, memandangkan unsur nadir bumi berkembang dalam kepentingan geopolitiknya sebagai bahan utama untuk banyak komponen berteknologi tinggi.

Chang berkata lesen Lynas mungkin dibatalkan jika ia gagal menempatkan semula kemudahan pemecahan dan larut lesapnya sebelum tarikh akhir 1 Julai.

Walaupun Chang mengakui “Sesetengah pekerjaan" boleh hilang jika kemudahan pemecahan dan larut lesap brekenaan ditutup, Lynas berkata kenyataan menteri itu menunjukkan dia tidak memahami kesan akibat langkah sedemikian.

“Penutupan loji pemecahan dan larut lesap Lynas Malaysia akan mengakibatkan kehilangan ratusan pekerjaan langsung dan ribuan pekerjaan hilang atau terjejas dalam masyarakat kita. Sebaik sahaja ia tiada, pekerjaan dan harta intelek ini akan hilang kepada Malaysia selama-lamanya.

"Adalah tidak betul untuk mengatakan ini adalah pilihan antara ekonomi atau alam sekitar kerana bukti operasi Lynas selamat adalah jelas dan disahkan oleh empat ulasan berasingan oleh saintis pakar," kata Ketua Pegawai Eksekutif Lynas Rare Earths, Amanda Lacaze.

Dia merayu kerajaan melayani Lynas secara adil sebagai pelabur langsung asing, dan agar keputusan dibuat berdasarkan bukti saintifik.

Lacaze berkata Lynas telah mematuhi pelbagai syarat apabila dipelawa untuk melabur di Malaysia, termasuk menggaji tenaga kerja yang 99 peratus disertai oleh rakyat Malaysia.