Laporan: Muhyiddin sudah berjumpa SPRM
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dilapor menghabiskan masa dari pagi hingga tengah hari semalam untuk memberi keterangan kepada penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
Justeru menurut laporan Utusan Online siasatan mengenai isu itu dikatakan sudah di peringkat akhir untuk dilengkapkan sebelum dihantar ke Jabatan Peguam Negara bagi menanti arahan selanjutnya.
Memetik sumber yang tidak dinamakan harian itu memberitahu sebelum ini beberapa pemimpin tertinggi Bersatu turut diambil keterangan mereka.
Apabila disiapkan nanti kata sumber itu SPRM akan menentukan sama ada wajar pertuduhan dibuat ke atas mana-mana individu atau sebaliknya.
Pada 1 Feb lalu Malaysiakini melaporkan akaun Bersatu - yang menjadi tunjang kepada PN - dibekukan oleh SPRM bagi membolehkan siasatan berkenaan dana parti itu dibuat.
Ia berlaku sehari selepas bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin, Marzuki Mohamad, mendedahkan penyata akaun parti itu - yang telah diaudit - bagi 2020 dan 2021.
Melalui kenyataan yang disiarkan di laman web Bersatu, Marzuki turut menyeru agar PKR dan DAP untuk melakukan perkara sama.
Mengesahkan perkara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM memberitahu keputusan untuk membekukan akaun berkenaan dibuat pada pertengahan Jan.
Menurut sumber yang dipetik harian sama, sehingga kini kedua-dua akaun Bersatu masih dibekukan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai