Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Surat cinta buat kerajaan perpaduan PMX

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Ke hadapan Kerajaan Perpaduan yang jauh di mata. Apa khabar anda di sana? Harap semuanya baik-baik saja.

Demikianlah kami rakyat jelata hanya mampu berharap; seperti menanti LRT di KL Sentral pada petang hari. Ada tren yang kelihatan kosong menghampiri, namun tiada ia berhenti. Padahal penumpang sudah lelah menunggu.

Demikianlah sifatnya ‘harapan’ itu. Lebih cenderung kepada kecewa selalunya. Namun fitrahnya - dibunuh tiada mati.

Arakian maka dituliskan warkah ini buat membingkai kecewa kami yang sarat ditanggung sehari-hari. Tentu sahaja bukan kecewa semata-mata; bahkan bercampur-campur jugalah perasaannya. Sepertimana bercampurnya kerajaan nan satu ini, seperti ais kacang cair di tengah panas mentari.

Seperti yin dan yang, begitulah kami melihat pentadbiran negeri ini. Dalam gelap ada terang, dalam putih ada hitam, dalam cerdik ada bangang, dalam cantik ada suram. Begitulah.

Maka tiadalah kami hairan lagi sementalah hari demi hari kami membaca khabar berita bermacam-macam adanya.

Baru sahaja beberapa hari lalu khabar kami terima bahawa mantan ahli parlimen Permatang Pauh sudah meletakkan jawatan daripada menjadi penasihat tiada bergaji kepada bapanya sang Menteri Perdana.

Giranglah hati kami menerima keputusan yang menepati nurani reformasi itu  meski memakan hari juga setelah ramai pihak menyampaikan buah fikiran yang kritis terhadap pelantikan tersebut, yang tiada dikhabarkan kepada umum meski sudah hampir sebulan lamanya.

Walaupun tiada imbalan gaji, melantik anak sendiri ke pejabat paling berkuasa dalam negara dengan akses kepada dokumen dan perbincangan sulit, ia adalah sesuatu yang sukar untuk kita terima.

Pun begitu kurang seminit cuma kegembiraan yang kami rasa. Kerana pada akhirnya Sang Puteri Reformasi seolah berpindah dari poket kanan ke poket kiri; dari pejabat ayahanda di Perdana Putra, turun sekitar satu kilometer ke Kementerian Kewangan. Yang kebetulan juga dipegang individu serupa.

Maka hairanlah kami rakyat jelata seraya menggaru kepala. Apatah lagi pelantikan yang sebelumnya sudah jenuh dipertahan siap dengan mendatangkan hadis dan dalil jua.

Cuma untuk jawatan yang baru ini, tiada pula disebut tentang gaji. Pro bonokah juga? Tiadalah kami ini mengerti.

Kemudian daripada itu kami terkejut lagi apabila kerajaan ini cuba mendakwa semula seorang pejuang hak asasi. Apa namanya, Heidy?

Tiada pemusatan kuasa

Sebenarnya kami rakyat jelata pun bukanlah ambil peduli akan hal-hal kecil sebegini namun apalah daya kami untuk menahan kecewa apabila seorang wanita aktivis hak asasi manusia dilayan seperti penjenayah hanya kerana melaporkan ketidakadilan melalui media sosial miliknya.

Lebih terkejut lagi kerana insan itu sudah pun dibebaskan mahkamah pada tahun sebelumnya.

Pun begitu mujurlah juga kerajaan ini punya nurani untuk berubah hati dan memutuskan untuk tidak mendakwa dia kurang dari 12 jam sebelum kesnya disebut di mahkamah. Apa jua sebabnya, kami kira ini adalah bagus untuk hak dan kebebasan bersuara serta upaya mempertanggungjawabkan kerajaan sebagai khadam rakyat jelata.

Aduhai pemimpin kami,

Adapun semalam kami menerima satu lagi khabar tentang perdana menteri yang menjustifikasi memegang dua portfolio. Bukanlah kami tiada faham keperluannya itu, bahkan mungkin sesuai sekali seorang mantan menteri kewangan terbaik Asia yang dilengser dari jabatannya kembali memikul tugasan berkenaan.

Namun apa yang kami resahkan ialah keberadaan reformasi institusi di bawah sebuah kerajaan yang ditunjangi aspirasi reformasi. Setelah demikian lama kita berharap supaya tiada seorang individu yang dipusatkan kuasa ke atasnya, tiadalah daya kami untuk tidak menghela nafas kecewa apabila diberi justifikasi bahawa ‘tidak apa’ untuk perdana menteri turut memegang jawatan Menteri Kewangan "selagi ia tidak menyalahgunakan kuasa".

Ya, bunyi memang sedap, tetapi siapa yang menyelia? Wujudkah mekanisme pemantau, dan adakah parlimen mencukupi untuk menyemak imbang peranan berkembar ini dalam sesi PMQT?

Harapan kami tinggi menggunung. Harapnya tiadalah kendala terhadap reformasi institusi.

Sebut tentang reformasi, menteri kesihatan yang datang dari parti reformasi kelahiran protes rakyat di jalan raya sepatutnya tiadalah gusar dengan mogok dan hartal sedangkan ia sepatutnya lebih mampu melakukan segala yang terdaya untuk menyelamatkan institusi perubatan dan kesihatan di bawah kelolaannya.

Sudah beberapa kali kami menyaksikan orang berputus asa di hospital, mengamuk dan berkasar kerana hilang sabar.

Tentu sekali ia bukan perkara baru, namun tentunya juga bukan sesuatu yang tidak boleh diselesaikan dengan cermat.

Tuan puan anggota kerajaan sekalian,

Adapun warkah nan satu ini bukanlah ditulis kerana benci. Bahkan ia bertinta cinta kasih dan bersalut harapan ke arah perubahan yang telah sekian lama kita rencanakan bersama.

Semoga ia tidak dipersiakan sepertimana sekian banyak prinsip yang telah dipersiakan ketika kaki pihak tuak memijak bangunan ibu pejabat Umno demi mengikat perjanjian kuasa.

Demi Pertiwi tentunya, tiada kami nafikan.

Namun selagi kami ini rakyat jelata masih punya harapan dan keberanian, izinkan kami terus menjadi nurani membisikkan kesedaran di saat kalian bergulat dengan godaan kuasa dan kedudukan.

Semoga tuan puan terus diberikan kekuatan menahan godaan.


IZMIL AMRI ialah penulis dan pemerhati politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.