Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN l Dua kesilapan Hamzah Zainudin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN l Ketua Pembangkang Parlimen, Hamzah Zainudin, telah melakukan dua kesilapan pada hari pertama selepas istiadat pembukaan Parlimen ke-15 oleh Yang di Pertuan Agong pada Isnin, 13 Februari lalu.

Petama, untuk memastikan ada proses semak imbang semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri dan kedua, untuk melepasi ujian Seri Paduka seperti dalam titah baginda untuk menjamin kestabilan politik dalam tempoh lima tahun yang datang bagi membolehkan proses menyatukan masyarakat majmuk yang terpolarisasi dan untuk mengembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip asal pembinaan negara bangsa supaya Malaysia dapat menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia. 

Hamzah telah lewat hadir ke Waktu Pertanyaan Perdana Menteri dan dia tidak bertanyakan satu pun soalan tambahan. 

Tiga soalan telah diajukan kepada Perdana Menteri oleh; Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh, mengenai hutang negara; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid, mengenai bantuan Malaysia kepada Turkiye dan Syria untuk bencana gempa bumi yang melanda kedua-dua negara tersebut; dan dari Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui, mengenai isu rasuah – yang mana ketiga-ketiganya merupakan persoalan yang penting mengenai masa hadapan negara. 

Kelewatan Hamzah untuk menyertai Waktu Pertanyaan Perdana Menteri ini mengesahkan kenyataan bahawa dia adalah seorang Ketua Pembangkang yang lemah – seorang Ketua Pembangkang yang tidak mampu menetapkan tona kumpulan pembangkang di Parlimen kerana kuasa sebenarnya berada di tangan orang yang lain yang tidak berpegang kepada tanggungjawab mereka di Parlimen dengan serius. 

Ahli-ahli Parlimen dari semua parti perlu memandang serius pendedahan dari Timbalan Yang di Pertua Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor, yang mengatakan rakyat melihat Parlimen seperti sebuah zoo. 

Dia mengatakan yang dia telah ke restoran mamak dan orang ramai mengenalinya dan bertanya bagaimanakah situasi di “zoo” ini. 

Adakah Ahli-ahli Parlimen telah memahami mesej yang cuba disampaikan oleh Yang di Pertuan Agong yang ke-16 semasa penyampaian Titah Diraja baginda dalam istiadat Pembukaan Parlimen ke-15 pada hari Isnin lepas; untuk “membuka hati” untuk menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 – dengan membentuk kerajaan yang stabil untuk menjamin kestabilan politik dan menjana pertumbuhan ekonomi, untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi rakyat seperti kos sara hidup, termasuk perkara-perkara seperti isu subsidi untuk rakyat dan usaha membanteras rasuah?

Adakah Ahli-ahli Parlimen dari semua parti politik akan memberikan respons terhadap seruan baginda untuk menghentikan “kemelut politik yang membelenggu negara hampir 4 tahun lamanya”?

Negara kita bakal menerima jawapan kepada persoalan ini pada hari Khamis minggu hadapan apabila usul Menjunjung Titah Diraja ini selesai. 


LIM KIT SIANG ialah ahli politik veteran DAP.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.