Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | PAS kini hanya pilih makanan kelas tinggi?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Dalam keghairahan mencari pengaruh politik bermacam-macam perkara diperguna untuk mendapat sokongan tanpa mengapa kesan negatifnya.

Kuasa adalah segala-galanya bagi mereka.

Ada yang mempunyai kelulusan tinggi sebagai doktor perubatan, sebagai guru agama atau pensyarah tetapi sanggup berkata dan berbuat apa sahaja asalkan dapat pengaruh dan kuasa di dunia.

Mereka tidak mengira apa kesannya kepada masyarakat yang dipimpin.

Baru-baru ini seorang ahli parlimen pembangkang - juga seorang doktor perubatan berpengalaman - cuba memperkecilkan manfaat serta nilai makanan.

Katanya Menu Rahmah berkualiti rendah dan memberi risiko penyakit autisme dan kanser.

Kenyataan tanpa sandaran fakta saintifik atau bukti bahawa sajian rahmah manakah yang dimaksudkan itu mengemparkan seluruh negara dan dunia.

Ia juga menimbulkan kebimbangan dan waswas bagi golongan kurang mampu yang sangat mengharapkan sajian rahmah pada waktu cengkaman ekonomi buruk melanda kita.

Tidakkah itu kenyataan tidak bertanggungjawab dan iri hati atas penerimaan luas masyarakat sehingga mereka sanggup melempar dusta serta meludah racun kesangsian ke atas harapan rakyat?

Penghinaan ke atas makanan mampu beli kononnya tidak berkualiti adalah sikap sangat tidak bersyuhur dan tidak mengikut ajaran Islam.

Apatah lagi ia datangnya daripada seorang doktor perubatan yang sepatutnya berilmu.

Sebelum itu ada pandangan yang hampir sama datang daripada ahli parlimen PAS apabila tersebar klip video dua pemimpin kanan parti yang menganggap ikan kembung tidak ada standard dan hanya makanan 'cap ayam' untuk dimakan.

Perlu lebih bertanggungjawab

Adakah setelah pernah menjadi kerajaan dan menteri mereka justeru berasa berhak menghina kurniaan Allah - iaitu ikan kembung yang dimakan ramai - dan mencurigai hidangan rahmah - sebagai 'beracun'?

Ramai sedar PAS sekarang merupakan parti politik yang mewah dan megah dengan kuasa di Pantai Timur. Adakah kerana itu maka mereka menjadi angkuh dan hanya memilih hidangan kelas tinggi sahaja untuk dimakan?

Adakah mereka sudah menganggap sajian lain yang murah sebagai beracun?

Doktor dan para ustaz itu mempunyai ilmu dalam bidang masing-masing dan perlu lebih bertanggungjawab dalam kenyataan mereka.

Adakah mereka sudah menggunakan ilmu untuk memesong dan memperdaya rakyat semata-mata demi politik tanpa mahu memikirkan perut rakyat yang kurang mampu serta miskin?

Apakah usaha murni kerajaan menyediakan makanan mampu milik untuk rakyat mesti diburukkan atas rasa iri hati walaupun sudah puluhan tahun memerintah Kelantan tidak ada usaha yang sama mereka cadangkan?

Mereka yang berilmu bidang perubatan dan agama senang-senang menyeleweng fakta demi politik tanpa memikir kebajikan rakyat di bawah.

Mereka menimbulkan keraguan makanan mampu rahmah supaya rakyat menjauhinya tanpa mencadangkan alternatif.

Mereka mengguna kedudukan sebagai agamawan untuk menuduh pihak lain sebagai tidak beriman dan menyokong LGBT agar orang Islam Malaysia berpecah-belah.

Setelah memfitnah - dan berdepan hukuman mahkamah - mereka dengan selamba meminta maaf sebelum tidak berapa lama kemudian mengulangi perbuatan sama.

Inilah bahaya orang yang 'berilmu' hari ini yang menyalahgunakan ilmu dan pengaruh untuk politik murahan.

Ilmu perlu disertai dengan akhlak yang mulia untuk memberi manfaat luas kepada masyarakat.

Malangnya tanpa akhlak, ilmu perubatan dan ilmu keagamaan disalahgunakan untuk matlamat politik sempit.


RAJA BAHRIN SHAH Ialah Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu.

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.