Jana Wibawa: Tengku Zafrul ikrar beri kerjasama penuh
Tengku Zafrul Abdul Aziz sedia memberikan kerjasama penuh sekiranya dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung bantuan rangsangan Covid-19 semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin.
Menerusi media sosial, menteri kewangan pada zaman PN menjadi kerajaan itu menegaskan tiada apa-apa yang mahu disembunyikannya.
"Ada media tanya saya mengenai Jana Wibawa. Tiada apa yang perlu disembunyikan dan saya sentiasa bersedia untuk memberi keterangan jika diminta berbuat demikian.
"Kerjasama penuh akan saya berikan," katanya dalam satu ciapan di Twitter malam tadi.
Kenyataan dibuat senator itu berlaku selepas Muhyiddin menegaskan semalam bahawa Jana Wibawa adalah program yang dicadangkan oleh menteri kewangan ketika itu untuk membantu kontraktor bumiputera semasa pandemik Covid-19 yang terjejas teruk.
Pada sidang media semalam, Muhyiddin menjelaskan dia dipanggil SPRM bagi memudahkan siasatan sebagai saksi sebaliknya bukan suspek berhubung program Jana Wibawa untuk kontraktor bumiputera di bawah pentadbirannya.
Dia juga menegaskan pegawai penyiasat SPRM tidak menyoalnya berhubung dakwaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa pentadbirannya sebelum ini menyalahgunakan berbilion ringgit.
"Tak ada dengan RM600 billion langsung tak tanya saya. RM530 billion atau RM86 bilion atau RM4.5 billion,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan kempen derma darah di Mid Valley Megamall di Kuala Lumpur, pagi semalam.
Kenyataan Muhyiddin itu dibuat selepas SPRM merekodkan keterangannya berhubung siasatan ke atas akaun bank Bersatu yang telah dibekukan.
Dia juga mendedahkan ada mendengar bahawa SPRM akan memanggil Tengku Zafrul untuk membantu siasatan berhubung projek Jana Wibawa.
Selain Muhyiddin yang juga pengerusi PN, beberapa pemimpin kanan Bersatu lain juga pernah disoal siasat SPRM sebelum ini.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut menegaskan SPRM menyoalnya semata-mata berhubung projek Jana Wibawa menunjukkan bahawa dakwaan Anwar terhadapnya bertujuan untuk mencemarkan nama baik.
Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa kelulusan bagi projek pembangunan luar bandar bernilai RM5.7 bilion di bawah program Jana Wibawa telah dihentikan sementara sehingga prosedur perolehan dan perbelanjaan yang ditetapkan oleh Perbendaharaan dipatuhi.
Ahmad Zahid berkata, Kementerian Kewangan yang turut diketuai Anwar mahu menyemak sama ada mereka dianugerahkan projek itu mengikut proses perolehan dan keperluan tadbir urus.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai