Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kuasa, realpolitik dan lembu

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | Politik dan lembu kadang-kadang tidak jauh berbeza. Kadang-kadang politik itu sendiri adalah lembu ternak. Lembu pula sering dikaitkan dengan politik kerana sifatnya yang menurut perintah tuan walaupun arahan yang diberikan tidak betul.

Lembu suka bergaduh sesama sendiri, sama seperti sepak terajang politik yang menghalalkan perseteruan demi seni merebut kuasa.

Jika dibawa ke sawah pada waktu pagi, maka bersawahlah lembu di bawah terik matahari sehingga senja. Ia taat meragut rumput, menjilat kemaluan sendiri atau apabila tiba 'seru' ia bersetubuh untuk melahirkan zuriat seterusnya.

Zuriat lembu adalah penerus generasi baru yang ditakdirkan untuk meragut dan memakan rumput. Walaupun alam terbentang luas dengan buah-buahan dan ikan sepat dalam sawah, rumput juga menjadi santapan harian lembu kerana ia tidak mengenal nikmat lain.

Sehingga kini tiada kajian dibuat untuk mencari jawaban kenapa lembu sukakan rumput saja.

Lembu tidak pernah terfikir tentang sedapnya buah rambai, sentul, kecupu dan kemunting yang tumbuh meliar tidak jauh dari kawasan sawah.

Rumput saja sudah memadai, lembu bahagia hidup seada-adanya.

Sejak turun-temurun lembu mempunyai sanak saudara yang banyak. Beranak pinak, bersepupu dan berkerabat dengan kerbau. Malangnya mereka tidak kenal konsep perpaduan.

Mereka tidak memahami konsep bersatu berdepan musuh yang sama.

Boleh bawa polemik

Banyak kejadian lembu tewas kepada seekor harimau akar yang lebih kecil. Bilangan lembu dan kerbau yang banyak tidak mampu mengalahkan kucing liar kerana masing-masing tidak memahami konsep realpolitik.

Lembu bukan watak-watak orang politik yang menjadi akrab selepas berseteru serta saling memaki silih berganti sekian lama. Lembu juga bukan lebai yang boleh menuturkan amanat menghalal dan mengharamkan sesuatu mengikut nafsu sendiri.

Shahnon Ahmad  memahami betapa hampirnya tabii lembu dengan politik.  Dia menulis novel Sutan Baginda pada 1980-an kerana jelak dengan perangai lembu politik yang bergasak semata-mata untuk mendapatkan kawasan rumput, kemudian bersetubuh dan bergasak seada-adanya.

Sutan Baginda mengisahkan hal orang politik yang sanggup berbuat apa saja untuk kepentingan diri mereka demi mencapai glory dan power. Politik bagi mereka bukan lagi amanah yang sewajibnya dijaga sebaliknya menjadi nafsu amarah yang hanya mengejar kekuasaan untuk mengisi perut.

Politik gelabah hodoh begitu akan terarah kepada puncak kehancuran kerana sememangnya demikianlah janji Allah. Sutan Baginda akhirnya mengalami sakit jiwa sebagai balasan daripada ketidakikhlasan, kecurangan dan lemahnya iman.  

Dia akhirnya bercakap dengan lembu dan kerbau yang diyakini lebih jujur dalam dunia kebinatangan.

Demikian tertekan dan tertindasnya jiwa-hati oleh iklim persekitaran sehingga lahirlah Sutan Baginda.

S Othman Kelantan mentafsir lembu sebagai haiwan politik yang membawa matlamat utama untuk berlaga dan bertarung. Perseteruan secara terbuka diangkat dalam novel Juara yang dihasilkan pada 1976.

Sejarah membuktikan pergolakan politik pernah berlaku di India dan Pakistan hanya kerana kes lembu berkeliaran di kawasan awam hingga akhirnya membabitkan pergeseran agama dan budaya.

Di Malaysia, lembu bukan haiwan yang sensitif namun penah menjadi polemik siasah apabila urusan jual beli lembu membabitkan dana kerajaan bernilai jutaan ringgit.

Skandal lembu dan kondominium mewah sudah mencalarkan nama Shahrizat Abdul Jalil.

Belum pun mahkamah menjatuhkan hukuman, mahkamah maya dan netizen mengaitkan lembu sebagai isu politik selain kes 1MDB yang berskala mega itu.

Sehari dua ini nama Shahrizat kembali disebut orang. Wanita Umno dari lebih 100 bahagian dilaporkan mahu dia kembali aktif memimpin pergerakan itu.

Reapolitik membenarkan dia kembali aktif kerana Shahrizat adalah ahli politik yang ada rekod tersendiri.

Shahrizat yang menyepi diri sejak BN tewas pada 2018 kini tampil dengan harapan baru walaupun wajah lamanya yang semakin dimakan masa.

Dicemuh berpuluh-puluh tahun

Memang menjadi tradisi Umno untuk mengitar semula orang lama kerana itulah realpolitik parti ketuanan Melayu.

Umno kini ialah parti untuk orang tua yang segan menatap perubahan zaman.

Jika Ahmad Zahid Hamidi yang dikaitkan dengan kes mahkamah boleh diangkat ke jawatan penting, sudah tentu Shahrizat juga masih berbisa dalam langkah dan gerak politiknya.

Ahmad Zahid adalah contoh realpolitik terbaik. Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak kritikan terhadap pelantikan Ahmad Zahid sebagai timbalannya, sambil menyatakan Presiden Umno mesti diberi peluang dihakimi secara bebas dan adil di mahkamah.

Ketika kempen pilihan raya umum pada 2022, slogan menentang rasuah dan penyamun menjadi mantera di pentas ceramah. Keputusan yang tidak memihak secara jelas kepada mana-mana pakatan siasah mendorong wujudnya kerajaan perpaduan.

Istilah realpolitik disebut secara meluas walaupun matlamat sebenar adalah untuk mengolah kebenaran membentuk kerajaan bersama lawan yang dicemuh sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Anwar mustahil menjadi perdana menteri  jika tiada sokongan 'kluster mahkamah' yang mendominasi Umno sejak beberapa tahun.

Kesempatan Anwar dan Ahmad Zahid bergabung adalah peluang untuk menutup cita-cita Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang kembali ke wilayah kekuasaan.

Tidak banyak yang boleh dilakukan mereka kerana realpolitik membenarkan gabungan dan pakatan bagi menstabilkan negara.

Anwar dan Ahmad Zahid memahami hakikat ini: sejarah ditulis oleh orang yang berkuasa.

Pada kurun ke-19, Count Camillo Benso di Cavour menggunakan realpolitik untuk menyatukan Itali menjadi sebuah negara. Pada masa itu, Itali terbahagi kepada beberapa wilayah.

Di bahagian utaranya, wilayah seperti Venetia dan Lombardy dikuasai oleh Austria. Orang Itali mahu menyatukan wilayah mereka di bawah sebuah pemerintahan dan mengusir orang Austria.

Cavour sangat menyanjung penyatuan Itali berlandaskan pemerintahan monarki dan dia bekerjasama dengan Napoleon III bagi menentang Austria pada 1860.

Hasil bantuan tentera Napoleon III, Itali berjaya menewaskan Austria. Melalui pungutan suara yang diadakan, Cavour memperoleh sokongan majoriti rakyat untuk menyatukan negara itu.

Pada 1866 - sebagai balasan kerjasama Itali membantu Prusia menewaskan Austria - wilayah Venetia dipulangkan kepada Itali. Pada 1870, Perancis mengundurkan tenteranya dari Rom dan Cavour mengambil peluang berkenaan menyatukan Rom dan Itali.

Penyatuan itulah yang akhirnya membentuk sebuah negara bangsa Itali.

Anwar sebagai mentor reformis tentunya memahami realpolitik yang bakal berlaku jika Muhyiddin dan Abdul Hadi bergabung dan mereka bakal membawa Malaysia ke suatu era yang tidak diduga.

Ahli PKR, DAP dan Amanah pula tidak lagi menyanyikan lagu Hoi, hoi ya hoi kerana memahami pihak yang dituduh sebagai pencuri dan penyamun kini adalah rakan kongsi dalam kerajaan madani.

Hamka dalam buku Tasauf Moden dan Lembaga Budi menyebut 10 ekor lembu yang sama saiznya di sesuatu kawasan mempunyai nilai harga yang sama.

Namun berbeza dengan 10 manusia di kawasan yang sama tetapi mempunyai nilai peribadi berbeza. Ada yang cerdik, ada yang mahir bertukang dan ada yang amalannya tinggi.

Apa pun, menguruskan lembu rasanya lebih mudah daripada manusia. Inilah realpolitik!


IMLAN ADABI adalah wartawan tanpa media, sasterawan tanpa kasta,