Skip to main
Logo Malaysiakini

Agus: Pindaan perlembagaan taraf warganegara perlu sokongan dua pertiga

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Cadangan pindaan perlembagaan berhubung isu taraf warganegara bagi bagi anak yang lahir di luar negara perlu mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen di Dewan Rakyat sebelum ia dapat dilaksanakan.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Mohammad Agus Yusoff berkata keputusan yang diumumkan kerajaan itu adalah satu kejayaan terbesar kerajaan perpaduan setelah menyelesaikan masalah Perjanjian Malaysia 1963 dengan Sabah dan Sarawak.

"Walaupun cadangan pindaan ini dipersetujui kabinet, pindaan ini perlu mendapat sokongan majoriti dua pertiga ahli dewan.

"Semoga MP (ahli parlimen) menyokong pindaan ini. Dan selepas ini, menyelesaikan pula masalah 'stateless citizens. One step at a time'.

"Setelah melihat usaha kerajaan perpaduan ini, saya yakin banyak lagi reformasi positif yang akan dilakukan oleh kerajaan ini. Syabas, 'Malaysia Madani in action'," katanya pada satu hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam, media melaporkan kabinet bersetuju dengan cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan hak kepada wanita Malaysia dengan suami warga asing untuk mewariskan kewarganegaraan kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara.

Ini dimaklumkan dalam kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail malam tadi.

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim serta barisan kabinet kerana merealisasikan komitmen negara terhadap kesaksamaan jantina dan memenuhi hak terhadap kanak-kanak.

"Cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara ini adalah untuk menggantikan perkataan 'bapanya' dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan 'sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya' bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya menurut Perlembagaan Persekutuan," kata menteri berkenaan pada satu kenyataan.

Mohammad Agus berkata isu ibu warganegara Malaysia untuk mendapatkan kerakyatan bagi anak mereka yang lahir di luar negara sudah lama berlaku.

Hal ini, katanya kerana taraf kerakyatan bagi anak mereka ditentukan oleh kerakyatan bapa.

Jelasnya, ia menjadi satu kegembiraan apabila kabinet bersetuju untuk meminda perlembagaan bagi menggantikan perkataan ‘bapanya’ dalam jadual kedua Perlembagaan Persekutuan dengan perkataan ‘sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya’ untuk membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak untuk menentukan kewarganegaraan anaknya,

"Pertama, gembira kerana kerajaan perpaduan memenuhi janji pilihan rayanya. Kedua, gembira kerana anak-anak ini sudah boleh menikmati kemudahan kerajaan seperti kesihatan dan persekolahan.

"Ketiga, gembira kerana DSAI (Anwar Ibrahim) membuktikan beliau adalah pemimpin kompeten yang berjiwa besar untuk melakukan sesuatu yang tidak sanggup dilakukan oleh perdana menteri sebelum ini," katanya.