Skip to main
Logo Malaysiakini

'Projek PR1MA patut bantu rakyat, bukan tambah beban'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hasrat untuk menduduki rumah idaman terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri pada April ini hancur berkecai apabila pembeli rumah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Seremban Sentral di Jalan Rasah, Seremban dikatakan berkemungkinan besar tidak dapat memperoleh kunci pada tarikh berkenaan.

Petang tadi, sebahagian mereka yang mewakili kira-kira 200 pembeli rumah yang tidak berpuas hati dengan kelewatan projek tersebut, berkumpul untuk menyatakan rasa kecewa mereka.

Mereka juga menuntut pemaju segera menyiapkan projek berkenaan, selain meminta pihak berkuasa daripada agensi-agensi berkaitan mengurangkan karenah birokrasi dalam isu kelulusan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).

Berdasarkan laman web PR1MA, pembinaan projek perumahan itu telah siap 99 peratus dan kini masih dalam proses memperolehi CCC.

Bagaimanapun, menurut seorang pembeli, Azhani Mohd Najib (gambar, atas) tarikh jangkaan untuk mereka mendapatkan kunci rumah seperti dipaparkan pada laman web tersebut sering berganjak dari semasa ke semasa.

"Masuk kali ini dah beberapa kali PR1MA anjakkan tarikh serahan kunci," katanya kepada Malaysiakini.

Kini katanya, tarikh penyerahan kunci dianjakkan ke suku kedua tahun ini, selepas pembeli dijanjikan penyerahan kunci pada Disember tahun lepas dan kemudian suku pertama tahun ini.

Azhani yang baru menceburi bidang guaman berkata, kebanyakan daripada pembeli terutama yang membuat pinjaman dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) sudah mula membuat bayaran penuh pinjaman mereka sejak tahun lepas.

"Saya sendiri sekarang ni sudah mula bayar lebih dari separuh jumlah ansuran pinjaman. Tambah lagi dengan komitmen sewa bulanan yang sedia ada.

"Rata-rata pembeli yang saya jumpa baru-baru ini, hampir kesemuanya dalam kelompok B40. Terpaksa tanggung dua kos perumahan. Satu pinjaman perumahan untuk rumah PR1MA dan sewa bulanan rumah yang kami duduk sekarang," katanya.

Kata Azhani, dia percaya tidak kira kerajaan mana pun yang memperkenalkan projek tersebut, pemimpin sekarang mesti mengambil serius tentang projek-projek perumahan PR1MA yang dikategorikan sebagai 'sakit'.

"Sebab nampaknya sekarang ni, projek PR1MA yang sepatutnya membantu rakyat, dah menjadi bebanan untuk rakyat marhaen macam kami," katanya.

Terpaksa keluar rumah sewa

Difahamkan, projek Prima Residensi Seremban Sentral sebelum ini dibangunkan oleh pemaju Brunsfield International Group sebelum dialih oleh Prima Corporation beberapa bulan lalu.

Projek itu mula dilancarkan oleh bekas perdana menteri, Najib Razak pada 2013 bagi membantu rakyat berpendapatan sederhana memiliki rumah di kawasan bandar Seremban.

Bagi Nursyakinah Wahid, dia dan suami yang kini sedang menyewa rumah berharap dapat memasuki rumah baru segera memandangkan keluarganya kini hanya bergantung kepada pendapatan suami.

"Sekarang ni kami menyewa rumah, saya berharap sangat nak menduduki rumah sendiri kerana pendapatan suami saya sekarang ni tidaklah mewah.

"Pendapatan bergantung pada suami sahaja sebab saya baru saja kena buang kerja, ditambah lagi keadaan diri saya tengah mengandung anak sulung," ujarnya.

Lebih memeritkan, Nursyakinah (gambar, atas) berkata dia dan suami kini perlu keluar dari rumah sewa mereka berikutan penyewanya mahu menduduki rumah berkenaan.

"Saya kalau boleh nak duduk rumah PR1MA tu segera, saya berharap PR1MA tunaikan apa yang dijanjikan sebelum saya bersalin.

"Lebih-lebih menjadi masalah besar apabila saya dan suami kena keluar dari rumah sewa sebab tuan rumah nak duduk. Saya harap dapatlah kunci sebelum saya bersalin," katanya.

Hilang sabar tunggu lebih setahun

Hafiz Mohd Nasir pula mendakwa masalah kelewatan penyerahan kunci berpunca daripada pemaju dan kontraktor, selain masalah birokrasi oleh agensi berkaitan.

"Menteri KPKT seharusnya mengambil tahu dan mencari jalan penyelesaian untuk masalah yang ditanggung oleh rakyat disebabkan kelewatan projek perumahan PR1MA Seremban ini.

"Rata-rata pembeli dalam golongan B40 amat terkesan dan terbeban dengan kelewatan projek. Lewat satu atau dua bulan mungkin boleh terima tetapi jika melebihi setahun pembeli sudah hilang sabar," katanya.

Untuk rekod, dilaporkan pada Januari lalu bahawa KPKT sedang meneliti aduan khususnya bagi projek yang mengalami kelewatan atau di bawah status sakit.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata dia telah mengadakan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Mohd Nazri Md Shariff untuk membincangkan masalah berkenaan.

Program PR1MA dimulakan pada tahun 2011 dengan objektif menyediakan perumahan kepada rakyat Malaysia berpendapatan menengah.

Pada 15 Februari 2022, syarikat itu memaklumkan terdapat sebanyak 21 ‘projek sakit’ di bawah program tersebut. Ini menyebabkan ada di kalangan pembeli terpaksa menunggu sehingga lima tahun untuk mendapatkan kunci rumah.