Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kerajaan dulu sekat Johor bangunkan tenaga boleh diperbaharui, pusat data'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PARLIMEN | Persaingan Malaysia dengan Singapura telah menyebabkan pentadbiran terdahulu menghalang usaha Johor membangunkan tenaga boleh diperbaharui dan projek pusat data di negeri itu, dedah bekas menteri besarnya Hasni Mohamad hari ini.

Hasni (BN-Simpang Renggam) berkata ini kerana kerajaan-ketika itu tidak mahu Singapura mendapat manfaat daripada pembangunan sebegitu di Johor.

“Saya ada pengalaman, Johor nak bangunkan begitu banyak sekali inisiatif tenaga boleh diperbaharui, bangunkan solar farm, pelbagai inisiatif nak buat data centres.

"Banyak negara buat tinjauan dengan Johor sama ada bersedia untuk bangunkan data centre.

Gambar hiasan.

"Tapi malangnya pada waktu itu, dasar kerajaan adalah Johor jangan bangunkan banyak sangat data centre atau renewable energy kerana bimbang kita gunakan lebihan pengeluaran tenaga untuk eksport ke Singapura.

"Boleh untungkan Singapura. Jadi Singapura lebih ke depan dalam jemput atau mengajak syarikat-syarikat gergasi seperti Google, Amazon," katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika sesi perbahasan titah diraja.

Pun begitu, Hasni tidak menjelaskan kerajaan terdahulu mana yang mempunyai dasar sedemikian, dan sama ada ini berlaku semasa dia menjadi menteri besar atau ahli exco negeri.

Hasni memegang jawatan sebagai menteri besar dari Feb 2020 hingga Mac 2022 merangkumi pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Dia sebelum ini pernah berkhidmat sebagai exco Johor yang bertanggungjawab dalam portfolio kerja raya, pembangunan luar bandar dan wilayah, dari 2013 hingga 2018 ketika Najib Razak menjadi perdana menteri.

Hasni merayu kepada kerajaan sekarang untuk meluaskan dasar tenaga boleh diperbaharui dan tidak gentar terhadap persaingan, walaupun dengan Singapura.

Katanya, untuk setanding dengan Singapura sebagai pusat data, sumber tenaga perlu bersih dan dijana oleh tenaga boleh diperbaharui.

Sumber utama penjanaan elektrik Malaysia pada masa ini ialah arang batu.


BACA BERKAITAN:

Kuasa dan wang: Adakah Malaysia masih bergantung pada arang batu?

Yang baik, mudarat, dan hodoh tentang industri tenaga arang batu di Malaysia