Skip to main
Logo Malaysiakini

Subsidi ayam, telur: JPV masih tunggu arahan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menjelaskan permohonan subsidi ayam dan telur bagi tahun 2022 telah ditutup pada 15 Januari 2023 manakala permohonan subsidi bagi tahun 2023 masih belum dibuka lagi.

JPV berkata subsidi bagi tempoh Jan 2023 hingga Jun 2023 telah dibincangkan oleh kabinet pada 17 Feb.

"Sehingga kini, JPV dan MAFS (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) masih menunggu minit kelulusan daripada pihak kabinet bagi pelaksanaannya.

"Permohonan kepada kabinet bagi subsidi ini adalah bagi tempoh Januari - Jun 2023," kata jabatan itu pada satu kenyataan hari ini.

JPV menjawab pertanyaan Malaysiakini berhubung spekulasi bahawa subsidi untuk penternak ayam - protein paling murah - akan dihentikan tidak lama lagi.

Menurut Utusan Malaysia, beberapa pemain industri membuat kesimpulan ini kerana borang permohonan dalam talian untuk subsidi itu telah dikeluarkan.

Lazimnya, Putrajaya memberi subsidi kepada penternak ayam hanya pada musim perayaan.

Bagaimanapun, pandemik Covid-19 dan perang di Ukraine telah menyebabkan melonjakkan harga makanan ternakan dan dengan itu meningkatkan harga ayam.

Setakat ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata semakan semula subsidi hanya akan dilakukan pada Jun.

Pada masa ini, harga runcit ayam standard dihadkan pada RM9.40 sekilogram manakala harga telur ayam gred A, B dan C masing-masing pada RM0.45, RM0.43 dan RM0.41 di Semenanjung Malaysia. .