Bila k'jaan nak tubuh RCI Mitra, soal Kulasegaran
PARLIMEN | Bekas menteri Sumber Manusia M Kulasegaran menyoal apa langkah kerajaan seterusnya berhubung isu Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).
Dia mengingatkan kerajaan, yang diterajui oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bahawa Pakatan Harapan telah menggunakan isu dana untuk masyarakat India itu sebagai salah satu bahan kempen pilihan raya pada PRU15.
"Pada PRU dulu kita telah kempen dengan asas bahawa penyelawegan wang ini asasnya di mana ramai di antara yang mencuri wang yang sebenarnya untuk orang miskin dan sebagainya adalah ahli-ahli politik yang sangat kaya dan sebagainya tetapi kita dapat tahu bahawa setakat ini orang-orang yang telah mengambil wang-wang tersebut tidak ada tindakan.
"Jadi kita nak tahu bilakah tindakan akan diambil. Sebelum itu pada bulan Oktober tahun dulu perdana menteri (Anwar Ibrahim) sendiri telah memberi aku janji bahawa satu forensik audit akan dijalankan terhadap Mitra, terhadap Maika Holding, terhadap Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic)," katanya ketika membahaskan titah diraja.
Anwar pada September berjanji kerajaan akan melaksanakan audit forensik terhadap tiga institusi berkaitan masyarakat India sekiranya gabungan itu menang pada PRU15 dan kembali mentadbir negara.
Tiga institusi tersebut adalah syarikat pelaburan Maika Holdings, Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).
Pengerusi PH pada ketika itu berkata masyarakat India di Malaysia berhak mengetahui perkara sebenar di sebalik dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa berkaitan institusi tersebut.
Manifesto PH untuk PRU15 juga menjanjikan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat semua institusi berkaitan MIC, termasuk Maika.
Maika Holdings gagal memberikan pulangan kepada pelabur - sesetengahnya ada yang membuat pinjaman dan menjual aset - selama bertahun-tahun.
Keadaan kewangannya bertambah buruk pada tahun 1990-an apabila Maika sepatutnya membeli 10 juta saham Telekom, namun hanya sejuta unit saham mampu dibeli.
Mitra pula pada awalnya dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (Sedic). Ia dilancarkan pada tahun 2013 oleh bekas perdana menteri Najib Razak dengan matlamat meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dalam kalangan masyarakat India.
Sedic dibubarkan apabila BN tumbang pada PRU14 dan dijenamakan semula sebagai Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) ketika pentadbiran kerajaan PH.
Selepas kerajaan PH tumbang dan diambil alih oleh kerajaan Perikatan Nasional, Mitra diletakkan di bawah ke Kementerian Perpaduan.
Isu dana Mitra menjadi hangat susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dengan penyelewengan geran peruntukannya.
Sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti menerima geran peruntukan oleh Mitra sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.
Sementara itu, Kulasegaran mengkritik tindakan kerajaan "menangguhkan" pelaksanaan gaji minimum baru RM1,500.
Ini selepas Menteri Sumber Manusia V Sivakumar (gambar, atas) memberikan tempoh penangguhan sehingga 1 Julai untuk syarikat yang mempunyai kurang daripada lima pekerja tahun ini mula membayar gaji minimum baru RM1,500.
Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) berkata, ia tidak masuk akal kerana kenaikan gaji akan membawa banyak faedah kepada pekerja, yang kebanyakannya terdiri daripada golongan miskin tegar.
Dia juga menyorot janji pentadbiran PH ketika berkuasa pertama kali pada 2018, untuk menaikkan gaji minimum sebanyak RM100 setiap tahun.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai