Skip to main
Logo Malaysiakini

Zafrul sokong k'jaan perbaharui lesen Lynas dengan bersyarat

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Tengku Zafrul Aziz hari ini menyatakan sokongannya terhadap pembaharuan lesen operasi Lynas Malaysia dengan bersyarat.

Ini di tengah-tengah dakwaan bahawa keputusan kerajaan itu boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap negara.

Ketika ditemui di ibu pejabat Miti di Kuala Lumpur, dia berkata individu yang tidak bersetuju dengan keputusan itu bebas menyuarakan pendapat mereka.

“Saya tetap dengan keputusan kerajaan, dan sebagai anggota kerajaan, kami akan terus menyokong industri yang bermanfaat kepada negara,” katanya seperti dipetik Malay Mail.

Lawatan Zafrul ke kilang Lynas di Gebeng, Kuatan telah menimbulkan kritikan ramai apabila Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang telah mengeluarkan kenyataan keras terhadap kemudahan pemprosesan nadir bumi.

Chang berkata Lynas perlu memindahkan kemudahan retak dan larut lesapnya keluar dari Malaysia sebelum Julai.

Kegagalan berbuat demikian, kata Chang boleh menyebabkan Lynas kehilangan lesen untuk beroperasi di negara ini.

Bagaimanapun, Zafrul selepas lawatannya ke kilang Lynas minggu lepas berkata kerajaan mengakui kepentingan produk Lynas, khususnya dalam bidang teknologi canggih seperti pengeluaran bateri untuk kenderaan elektrik, motosikal dan telefon pintar.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

"Miti dan agensi bersedia berkongsi pandangan dengan syarikat dalam industri nadir bumi seperti Lynas untuk memastikan fasilitasi mesra perniagaan dapat diwujudkan selari dengan keperluan elemen alam sekitar, sosial dan tabdir urus (ESG)," kata Zafrul.

Dilaporkan kerajaan telah memperbaharui lesen operasi untuk kilang pemprosesan Lynas di Gebeng, Kuantan selama tiga tahun, berkuat kuasa 3 Mac.

Bagaimanapun, lesen itu diperbaharui dengan syarat sama yang dikenakan oleh pentadbiran Pakatan Harapan pada 2020.

Syarat utama termasuk memindahkan kemudahan retak dan larut lesap keluar dari Malaysia sebelum Julai ini, selepas itu ia tidak lagi dibenarkan mengimport lantanida ke negara ini.

Syarikat itu mengecam syarat berkenaan dan memberi amaran bahawa beratus-ratus orang akan hilang pekerjaan jika ia terpaksa menutup kemudahan retak dan larut lesapnya itu.

Pada 17 Feb, Chang menulis ciapan bahawa loji Lynas boleh dikekalkan - jika syarikat itu membawa sisanya keluar dari negara ini.

Loji Lynas telah beroperasi sejak 11 tahun lalu dan syarikat itu diberi pengecualian cukai selama 12 tahun.

[Baca berita asal]