Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Peperangan setahun terhadap Ukraine

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tanggal 24 Februari 2022 akan diingati sebagai hari ketika Rusia memulakan pencerobohan haram terhadap Ukraine dengan kejam, tanpa provokasi. Ini telah, dan masih menjadi satu kes serangan yang nyata dan sememangnya melanggar Piagam Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Perang ini tidak sewajarnya dilihat sebagai ‘hanya isu orang Eropah’ atau ‘pertembungan antara pihak Barat dengan yang lain’. Isu ini berkait rapat dengan dunia yang kita tidak mahukan: tiada sesiapa pun yang akan berasa selamat dalam dunia ini dengan penggunaan kekerasan secara haram terhadap sebuah negara yang berdaulat — terutamanya oleh sebuah kuasa nuklear dan ahli tetap Majlis Keselamatan PBB seperti Rusia —boleh ‘dinormalisasikan’. 

Oleh itu, undang-undang antarabangsa perlu dikuatkuasakan di setiap tempat untuk melindungi semua daripada politik kuasa, ugutan dan serangan ketenteraan. 

Genap setahun peperangan, kita berhadapan dengan risiko ‘lali’ atau normalisasi jenayah perang dan kekejaman oleh masyarakat, kerana bilangan gambar peperangan yang dilihat sudah terlalu banyak, sehingga perkataan-perkataan yang kita guna untuk mengecam tindakan sebegini telah mula hilang makna disebabkan pengulangannya yang berlanjutan. 

Lantas, kita mula berasa penat dan ia melemahkan tekad kita, sedangkan masa terus berlalu dan tugas di tangan untuk menyelesaikan situasi ini adalah rumit. 

Kita tidak sewajarnya membiarkan hal ini berterusan. Saban hari, Rusia sentiasa mencabuli Piagam PBB dan ini mewujudkan duluan yang sangat berbahaya untuk seluruh dunia dengan dasar imperialisnya. 

Setiap hari juga Rusia terus membunuh wanita, lelaki dan kanak-kanak Ukraine yang tidak berdosa, menghujani tempat-tempat awam dengan peluru berpandu dan membedil bandar-bandar serta infrastruktur orang awam. Setiap hari, Rusia terus menyebarkan pembohongan dan penyelewengan fakta. 

Bagi Kesatuan Eropah (EU) dan rakan-rakan kongsi kami, tiada pilihan yang terbentang selain meneruskan dengan strategi tiga penjuru: iaitu, menyokong negara Ukraine, memberi tekanan terhadap Rusia untuk menghentikan pencerobohan haramnya dan membantu negara-negara lain dalam menghadapi kesan sampingan pencerobohan ini. 

Inilah yang kami berjaya laksanakan selama setahun dan akan meneruskan langkah ini. Kami telah mengenakan sekatan terhadap Rusia dengan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api Rusia. Kerjasama erat dengan rakan sekutu utama yang telah mengurangkan sebanyak 50% hasil yang diperoleh oleh Kremlin untuk membiayai pencerobohannya. 

Dengan kerjasama tersebut, kami telah mengurangkan risiko kesan riak sedunia dengan penyusutan harga makanan dan kadar tenaga, sebahagiannya disebabkan oleh Laluan Solidariti (Solidarity Lanes) dan Inisiatif Bijiran Laut Hitam (Black Sea Grain Initiative) kami. 

Tidak cukup sekadar menyatakan sokongan kepada Ukraine untuk mempertahankan negaranya, mereka perlukan kemampuan yang sewajarnya untuk berbuat demikian. Oleh itu, untuk pertama kalinya, EU telah membekalkan senjata kepada sebuah negara yang sedang diserang. Bahkan, kini EU merupakan penyumbang utama latihan ketenteraan anggota tentera Ukraine bagi mengukuhkan pertahanan negara mereka. 

Kami juga menawarkan bantuan dari segi makro-kewangan dan bantuan kemanusiaan yang signifikan untuk membantu rakyat Ukraine. Malah, kami juga telah memutuskan untuk membalas permintaan Ukraine untuk menyertai EU secara positif . Akhir sekali, kami sedang berusaha untuk memastikan Rusia bertanggungjawab atas jenayah peperangan yang telah dilakukannya. 

Ukraine berjaya menunjukkan daya tahan yang tinggi, sebahagiannya hasil dari bantuan-bantuan ini. Rusia juga semakin terhimpit oleh sebab sekatan-sekatan global dan kecaman antarabangsa oleh majoriti besar negara-negara di dalam Perhimpunan Agung PBB. Matlamat bersama kami, kini dan senantiasa mahukan demokrasi di Ukraine yang berkekalan; menghalau penceroboh, mengembalikan sepenuhnya kedaulatannya dan dengan itu, membaik pulih keabsahan antarabangsa. 

Melampaui segala pertimbangan lain, kami mahukan keamanan di Ukraine, keamanan secara menyeluruh dan berpanjangan, selaras dengan Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa. Usaha untuk membantu Ukraine haruslah digerakkan seiring dengan hala tuju ke arah keamanan sejagat.

Seandainya pencerobohan haram Rusia ini berjaya, kesannya akan tersebar ke serata dunia. Risiko kawasan-kawasan penting (hotspots) di rantau Asia seperti Laut China Selatan, Laut China Timur, Selat Taiwan dan lain-lain bakal terjerumus dalam kancah konflik terbuka. Inilah sebab mengapa Eropah dan rakan-rakan kongsi di rantau Asia Pasifik perlu mengambil pendirian bersama. Sokongan dari kebanyakan negara-negara Asia di PBB dan berbagai tempat lain demi prinsip-prinsip seperti keutuhan wilayah, kedaulatan dan undang-undang antabangsa amatlah penting.

Ingin saya tegaskan, EU mengukuhkan komitmen penuh untuk mendukung undang-undang antarabangsa di mana-mana negara, bukan sahaja di Ukraine. Kami berusaha untuk mencapai keamanan dan keselamatan di seluruh dunia termasuklah di rantau Asia Pasifik. 

Kita harus jelas bahawa tindakan Rusia adalah penyebab utama kepada gelombang kejutan ekonomi dari segi makanan, tenaga dan baja. Kami telah kerap mengecualikan makanan dan baja dari sekatan-sekatan EU serta kami juga sedang memantau sebarang kesan-kesan yang tidak disengajakan daripada serangan Rusia terhadap Ukraine. 

Pada skala yang lebih besar, pencerobohan Rusia telah menguatkan lagi keperluan Eropah dan Asia untuk mengelakkan kebergantungan yang melampau. Kita harus memperteguh kerjasama bagi membina ekonomi yang lebih berdaya tahan dan terangkum. 

Sejarah dan keadilan memihak kepada Ukraine tetapi untuk menyegerakan sejarah dan mencapai keadilan, kita harus meluaskan strategi tiga penjuru ini. Kami sedar ini memerlukan usaha kolektif dan inilah sebab EU bergantung pada semua rakan-rakan sekutu agar bertindak dalam semangat pertanggungjawaban bersama dan solidariti: untuk memastikan pencerobohan mereka gagal dan undang-undang antarabangsa kekal berdaulat.


JOSEP BORRELL ialah perwakilan tertinggi Kesatuan Eropah (EU) untuk Hal Ehwal Luar Negeri dan Keselamatan merangkap Naib Presiden Suruhanjaya Eropah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.