Skip to main
Logo Malaysiakini

'KKM tiada kuasa halang doktor tinggalkan perkhidmatan awam'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang hari ini mengulas isu gaji yang dikatakan menjadi punca doktor pakar dan pegawai perubatan meninggalkan perkhidmatan awam untuk berhijrah ke luar negara.

Sementara dia mengakui insentif dan gaji untuk doktor di luar negara lebih tinggi, dia berkata gaji permulaan untuk doktor dalam perkhidmatan awam di Malaysia secara relatifnya lebih baik berbanding jawatan lain.

"Pegawai perubatan dalam Kementerian Kesihatan diberi gaji permulaan RM5,179 (sebulan) dengan kenaikan tahunan RM225.

"Gaji permulaan ini jauh lebih tinggi berbanding skim perkhidmatan lain dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional perkhidmatan awam," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya lagi, pegawai perubatan turut diberi bayaran untuk kerja lebih masa ketika on call, kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan serta cuti bergaji untuk sambung belajar.

Pada masa sama, Lukanisman berkata Kementerian Kesihatan akan terus menambah baik insentif untuk doktor, sambil menambah pihaknya tiada kuasa untuk menghalang mereka daripada meninggalkan perkhidmatan awam.

Masalah untuk mengekalkan doktor dalam sektor kesihatan awam sudah berlanjutan sejak sekian lama.

Dalam tinjauan yang dibuat dalam kalangan kakitangan kesihatan awam di Malaysia yang dijalankan portal kesihatan CodeBlue baru-baru ini, kakitangan tetap dan kontrak menyuarakan rasa tidak puas hati dan kemarahan mereka terhadap sistem kesihatan awam.

Dilaporkan 95 peratus daripada 1,652 responden merasakan sistem kesihatan awam dalam "krisis", manakala 73 peratus responden menimbang untuk berhenti kerja.

Tinjauan itu juga menunjukkan 52 responden berkata mereka akan menyertai mogok jika ada pihak yang menganjurkannya.

Khabar angin berkenaan mogok timbul minggu lalu, menyebabkan Menteri Kesihatan Zaliha Mustafa mengadakan sesi dialog awam dengan kumpulan Hartal Doktor Kontrak.

Sesi itu dijadual diadakan esok di ibu pejabat Kementerian Kesihatan di Putrajaya.

Menurut Lukanisman, sesi itu juga akan membincangkan isu suami isteri di bawah kementerian itu yang bertugas di negeri berbeza.