Skip to main
Logo Malaysiakini

Hassan suarakan kebimbangan k'jaan terlibat pendakwaan terpilih

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PARLIMEN | Ahli parlimen kerajaan yang sesekali lantang bersuara sehingga dilihat agak menyongsong arus, Hassan Abdul Karim, hari ini menyatakan kebimbangannya terhadap dasar Putrajaya terhadap isu rasuah.

Hassan (PH-Pasir Gudang) berkata antara kebimbangannya kini ialah kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim akan tunduk kepada kesan rasuah kuasa dan pendakwaan terpilih.

“Kita (kerajaan) eksekutif, kita ada kuasa. SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) di bawah kita, PDRM (Polis Diraja Malaysia) di bawah kerajaan.

“Jadi saya bimbang boleh berlaku pendakwaan terpilih (dan) parti lawan kita jadi mangsa.

“Kalau ada asas, tidak apa, tapi saya takut seperti kata bijak pandai dalam tradisi demokrasi: kuasa boleh membawa kepada sikap korup, (dan) dengan kuasa mutlak akan menyebabkan korup mutlak,” katanya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Pandangan Hassan itu muncul ketika beberapa jam sebelum itu dua pemimpin Bersatu didakwa atas tuduhan rasuah di mahkamah Kuala Lumpur.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pula memang sedang disiasat pihak berkuasa baru-baru ini.

Elok asingkan portfolio

Anwar bagaimanapun sudah memberi jaminan bahawa pihak berkuasa tidak akan terlibat dalam pendakwaan terpilih. Penegasan itu turut diulangi pagi tadi dengan mengatakan bahawa tiada sesiapa yang terkecuali daripada undang-undang termasuk individu dari PKR.

Bagaimanapun, Hassan dalam ucapan perbahasannya itu bersikap optimis bahawa pemimpinnya itu mempunyai integriti dan komitmen dalam membanteras rasuah.

“Tapi tetap perlu diberi peringatan. Perdana menteri bukan sahaja perdana menteri tapi menteri kewangan. Ia dua jawatan yang sangat penting.

“Saya tak ada prejudis apa-apa tetapi perlu diingatkan ada mantan perdana menteri boleh sahkan apa saya cakap ni betul.. perdana menteri mempunyai kuasa luas dan besar,” katanya.

Bekas pengerusi PKR Johor turut memetik contoh bagaimana mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat perdana menteri dan kerajaan - kecuali dalam beberapa perkara yang raja mempunyai budi bicara.

Mengulangi kata-kata "kuasa mutlak boleh membawa kepada korupsi mutlak,” dia turut menegaskan skandal 1MDB berlaku ketika Najib Razak menjadi perdana menteri sekali gus menteri kewangan.

Katanya, adalah lebih baik kedua-dua portfolio itu diasingkan daripada perdana menteri.