Skip to main
Logo Malaysiakini

Shahrizat kembali: 'Wanita Umno hadapi isu ketandusan pemimpin'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Langkah Shahrizat Abdul Jalil untuk kembali ke medan politik dengan bertanding jawatan ketua Wanita Umno - jawatan yang pernah dipegangnya dulu - mencetuskan pandangan berbeza di kalangan penganalisis politik.

Ada yang berpandangan Umno perlukan pemimpin berpengalaman sepertinya, manakala ada yang merasakan parti itu perlu bergerak ke depan dengan pemimpin baru.

"Saya melihat keputusan Shahrizat menawarkan untuk kembali bertanding ke jawatan ketua wanita kerana faktor dalaman sayap itu. Dia kembali (ke arena politik) atas faktor kelemahan kepimpinan sayap Wanita pada masa ini.

"Sayap itu mahukan pemimpin lebih berpengalaman yang dapat membantu Umno dalam usaha menawan pengundi," katan pensyarah UTM Prof Madya Dr Azmi Hassan kepada Malaysiakini.

Pada 17 Februari lalu, Shahrizat yang mengetuai Wanita Umno pada 2009 hingga 2018 menghantar borang penamaan calon bagi pemilihan parti kali ini.

Dia kemudian mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan itu ketika pemilihan Umno 2018.

Dia berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil serius suara lantang rakyat yang mahu melihat pembaharuan dalam Umno, selain memberi peluang kepada muka baru.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad sebelum ini dilaporkan akan mempertahankan jawatan itu.

Mengulas lanjut, Azmi berkata harapan akar umbi Umno ketika ini adalah untuk membawa masuk pemimpin yang neutral untuk memperkuatkan parti.

"Kita bukan sahaja melihat pemilihan Umno kali terbahagi kepada dua kumpulan bertentangan iaitu kem presiden (Ahmad Zahid Hamidi) dan kem anti-Zahid. Sayap Wanita juga mungkin menghadapi scenario yang sama," katanya lagi.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof Dr Jeniri Amir pula berpendapat kemenangan Shahrizat dalam pemilihan kali ini akan memberikan isyarat negatif.

"Keputusan dia untuk bertanding jawatan ketua Wanita seolah-olah memberi isyarat Umno kini ketandusan pemimpin. Ia satu langkah yang tidak tepat. Seperti 'wain lama dalam botol baru'," katanya yang memetik perumpamaan Bahasa Inggeris.

Noraini Ahmad

"Dia sepatutnya membantu pemimpin muda yang lain untuk menerajui jawatan itu jika tidak puas hati dengan pemimpin yang ada sekarang.

"Bukan dia sendiri yang bertanding. Jika dia menang ia satu bebanan kepada parti," katanya, sambil menambah pencapaian Noraini sebagai ketua Wanita tidak boleh diukur dalam satu penggal sahaja, lebih-lebih lagi ketika krisis politik dan penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, pensyarah politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata terpulang kepada ahli Wanita Umno sama ada untuk menyokong Shahrizat atau tidak.

"Dia ada hak untuk kembali bertanding. Terpulang kepadanya untuk bertanding jika ada sokongan.

"Tapi jika tidak ada sokongan, sukar untuknya pada masa depan," katanya yang turut mengakui Wanita Umno kini memang berdepan masalah ketandusan pemimpin.