ULASAN | Geopolitik imaginasi, ekstremisme dan Madani
ULASAN | Visual kawad dengan replika senjata berwana hijau menghiasi gambar-gambar di media sosial dan arus perdana.
Ia adalah acara Himpunan Pemuda Islam Terengganu 2023 (Himpit). Bagi Ketua Pemuda PAS negeri Mohd Harun Isa, acara itu tidak membabitkan penggunaan senjata bahaya sebaliknya peserta hanya menggunakan replika.
Beberapa pandangan yang diberikan mengenainya dalam media sosial antara lain menyatakan biarkan mereka berarak dan kenapa harus berfikiran negatif.
Bagi sesetengah pengulas, perarakan ini membangkitkan jati diri anak muda Islam menjadi wira berjuang di samping Imam Mahdi. Ada beralasan apa salahnya kerana perarakan tersebut hanya menggunakan pakaian ala tentera Islam zaman Nabi Muhammad dengan pedang tiruan dan perisai.
Memang jika dilihat secara zahir, ia tidak kelihatan pelik kerana terdapat beberapa kumpulan lain yang terlibat dan ia sekadar perarakan.
Namun jika ditelusuri dengan mendalam, visual-visual seperti ini sedikit sekali mengingatkan kepada zaman peperangan Nabi Muhammad SAW. Ia bukannya isu buta sejarah tetapi kecondongan imaginasi yang akan membawa kepada kisah Isis.
Itulah kisahnya sekarang.
Laporan kisah Isis yang menguasai kawasan di Iraq dan Syria serta pemaparan media dan videonya telah menimbulkan imaginasi tentang pembentukan sebuah khilafah Islam dengan pengisian keganasan, pembunuhan dan penyembelihan.
Ia telah menyebabkan dunia mengaitkan Islam dengan keganasan, kekejaman dan kekerasan.
Apabila gambar-gambar perarakan Himpit PAS menggunakan simbol pahlawan Islam dengan senjata disiarkan dalam media dan media sosial, gambaran tentang politik keagamaan pula muncul.
Politik agama akan dicitrakan sebagai membayangkan keganasan dan wadah perjuangan yang menggunakan kekerasan, bertujuan tidak hanya membela agama, tetapi juga mati syahid dalam mencapai idealisme teologi berjuang demi Allah (walaupun ia tidak benar).
Apa yang terbayang nanti adalah geopolitik imaginasi di negara ini: daerah luar bandar terutamanya kawasan Pantai Timur disarati dengan ekstremisme agama dan fahaman Islam sempit, fahaman Melayu dan perkauman tercorot dengan pandangan atau jegei (pandangan) binari yang tajam, contohnya Islam/kafir, Melayu/Cina dan parti Islam/DAP.
Walaupun bagi sesetengah pihak ia dianggap sebagai tidak membawa apa-apa kemudaratan, visual-visual yang dipaparkan semasa perarakan mengembangkan geopolitik imaginasi berkaitan ekstremisme.
Imaginasi kesyahidan, masuk syurga melalui wasilah perang - walaupun hanya sebagai simbol namun menjadi semacam mesin pendorong keganasan, ekstremisme, pemujaan dan ketaksuban tokoh - inilah yang disebutkan sebagai “imaginasi Isis”. Ia merupakan cabaran kepada kerejaaan perpaduan dengan konsep madaninya.
Tidak keterlaluan ia juga akan menanam suatu bentuk imaginasi pada golongan muda dalam mencapai idealisme teologi-transendental menggunakan wahana dengan cara kekerasan dan keganasan secara intensif.
Inilah yang berlaku kepada kumpulan Al-Qaeda, Jabhat al-Nusra dan Isis di Iraq, Afghanistan, Syria dan juga Libya.
Apa yang menarik untuk diperhatikan, geopolitik imaginasi melalui keganasan dan kekerasan ini tidak sahaja dikembangkan oleh pengganas itu sendiri tetapi disemarakkan dalam filem-filem Barat.
Bahkan menjadi kelaziman umat Islam dimomokkan sebagai pengganas tegar dalam filem Hindustan dan Tamil, dan menjadi syarat kepada hampir semua aksi pengeboman, pembunuhan dan kekerasan disabitkan kepada Islam dan penganutnya (walaupun perang menentang keganasan telah lama berakhir).
Melalui filem, media antarabangsa dan seumpamanya, Barat dan India (dalam filem Hindustan dan Tamil) mengembangkan imaginasi-imaginasi yang dikaitkan dengan individu seperti Osama bin Laden, Abu Bakar Ba'asyir, Ayman al Zawahiri, Abu Bakr al-Baghdadi, dan kelompok pengganas seperti al-Qaeda, Jabhat al-Nusra atau kumpulan rekaan sebagai plot kepada filem mereka, seolah-olah tiada pengganas ekstrem lain di India.
Citra-citra atau pengwajahan seperti ini kepada orang bukan Islam akan meningkatkan persepsi bahawa Islam adalah agama keganasan dan mengamalkan ekstremisme.
Dalam hal ini, pengganas dan keganasan menjadi suatu istilah yang dikosongkan dari makna pada peringkat awalnya, dan kemudian diisikan dengan citra, makna atau konotasi yang sesuai dengan kepentingan pihak tertentu.
Amat sedih sekali dalam menjelaskan istilah terrorism atau keganasan dalam Bahasa Melayunya, ia telah menjadi perkataan propaganda yang tidak mempunyai makna neutral.
Definisi dan maknanya diputar belit dan dilencongkan sehingga menjadi bias kepada sesuatu kelompok, masyarakat, bangsa dan agama.
Dalam geopolitik imaginisasi di kawasan Iraq, Syria dan Afganistan misalnya, Islam akan dikaitkan sebagai kelompok manusia yang dahagakan darah, gila kuasa, kejam atau kelompok manusia beragama yang menggunakan segala bentuk kebencian dan permusuhan terhadap Barat atau Amerika dan mereka yang pro kepada mereka.
Akhirnya konsep keganasan atau terrorism akan menjadi sebahagian daripada teori konspirasi yang di dalamnya ada pelbagai tafsiran mengenai kelompok, bangsa dan agama dan dikembangkan dalam rangka mencemarkan nama dan pengwajahan Islam.
Maka melalui simbol dan ikon ini (keganasan dan pengganas), muncullah geopolitik imaginasi pihak-pihak tertentu (Barat dan kalangan negara di Asia seperti India dan Myanmar) dan ia akan mengwajahkan Islam dan wilayah-wilayah tertentu yang majoriti penduduknya umat Islam di India dan Myanmar (Rakhine yang dihuni etnik Rohingya) sebagai cenderung kepada keganasan.
Maka diciptakan pengelabuan maklumat atau “deception” dan pengelabuan realiti atau “hiper-realiti” melalui media dalam rangka menghasilkan konotasi dan pandangan awam mengenai Islam atau kelompok tertentu umat Islam sebagai pengganas agama.
ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pensyarah perhubungan antarabangsa di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai