Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO: Mansuh dasar 'ketinggalan zaman' larang penghidap HIV masuk IPTA

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) menerima pujian di peringkat antarabangsa atas dasar yang progresif dan ihsan berkenaan HIV/AIDS, dasar-dasar lain yang dilihat bersifat diskriminasi masih ada.

Antaranya larangan untuk individu positif HIV daripada belajar di institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Semakan Malaysiakini mendapati mereka yang memohon untuk melanjutkan pengajian di IPTA untuk melakukan ujian Hepatitis B dan C, HIV, dan buta warna. Mereka juga perlu mengisytiharkan sama ada memiliki masalah kesihatan mental atau tidak.

Tawaran kepada mereka yang didapati positif HIV akan ditarik balik, atas dasar keadaan kesihatan itu boleh menjejaskan pelajaran mereka.

Universiti Teknologi Malaysia di laman webnya menyatakan pihak universiti ada hak untuk menarik balik tawaran atau menamatkan pengajian mereka yang didapati menghidapi penyakit berjangkit, atau memiliki masalah kesihatan yang memerlukan rawatan berterusan yang akan menjejaskan pengajian mereka.

Bukan dasar KKM

Ketika dihubungi, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata larangan itu bukan dasar kementeriannya, tetapi ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

"Keputusan untuk melarang kemasukan (ke universiti) bukan dibuat Kementerian Kesihatan. Kementerian Pengajian Tinggi yang akan membuat keputusan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Tidak jelas bila dasar itu mula dikuat kuasa. Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Pengajian Tinggi untuk mendapatkan penjelasan dan maklum balas berkenaan perkara ini.

Walaupun pelajar yang menghidapi HIV tidak dibenarkan melanjutkan pengajian di IPTA, pelajar yang didapati positif selepas mendaftar dibenarkan meneruskan pengajian.

Meneruskan kehidupan dengan rawatan

Yayasan PT, sebuah pertubuhan komuniti yang mengadakan program dengan penghidap HIV/AIDS, menyifatkan dasar itu "ketinggalan zaman" dan tidak berasaskan perubatan.

Menurutnya, rawatan anti-retroviral (ARV) yang dijalani mereka yang memiliki HIV/AIDS dapat membendung virus dalam tempoh enam bulan rawatan.

"Sebaik saja ia dibendung, mereka dapat menjalani kehidupan yang normal dan sihat.

"Jadi kebimbangan yang mereka akan jatuh sakit, tak dapat hadir kelas, dimasukkan ke hospital dan sebagainya, tidak akan berlaku kepada mereka yang menjalani rawatan ARV," katanya.

Kata Yayasan PT lagi, sebaik saja virus dalam badan penghidap HIV/AIDS dibendung, kemungkinan untuk virus tersebar menerusi perhubungan seksual juga sangat rendah.

"Kita telah lihat ramai orang yang hidup dengan HIV (PLHIV), di mana virus telah dibendung, memiliki anak dan semua anak mereka kekal negatif," katanya.

Menurut KKM, kira-kira 60 peratus orang yang menghidap HIV di Malaysia menjalani rawatan ARV.

Marakkan stigma

Yayasan PT berkata amalan diskriminasi dan stigma seumpama ini menghalang matlamat KKM untuk membanteras AIDS di Malaysia.

Dasar itu juga menutup peluang anak muda cemerlang yang positif HIV untuk melanjutkan pengajian ke tahap lebih tinggi.

"Yayasan PT dan NGO lain di bawah Majlis AIDS Kebangsaan menggesa dasar ketinggalan zaman seperti ini ditamatkan dan digantikan dengan dasar yang menggalakkan kaunseling dan ujian secara sukarela, serta menawarkan akses saksama untuk sokongan, rawatan, penjagaan dan penegahan HIV kepada semua pelajar," katanya.

[Baca berita asal]