Skip to main
Logo Malaysiakini

'MP boleh mohon peruntukan melalui ketua whip jika belum dapat'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Armizan Ali menjelaskan bahawa hanya wakil rakyat yang masih belum menerima peruntukan untuk kawasan pilihan raya mereka harus memohon melalui ketua whip.

Dia berkata mungkin ada yang keliru dengan kenyataannya sebelum ini berhubung permohonan peruntukan dan beranggapan setiap permohonan mesti melalui ketua whip parti mereka.

“Saya tidak kata setiap permohonan mesti melalui ketua whip.

“Apa yang saya maksudkan ialah bagi mereka yang masih belum mendapatnya, mereka boleh menggunakan whip parti mereka untuk berbincang dengan pimpinan kerajaan kerana seperti yang kita tahu, kita belum ada Akta Perkhidmatan Parlimen lagi.

“Jika kita ada akta itu, semua masalah kita akan selesai dan tidak perlu memohon atau meminta, tetapi setakat ini, ia masih atas budi bicara orang yang memegang peruntukan itu (perdana menteri).

"Perdana menteri juga manusia jadi apabila kita minta budi bicaranya, kita perlu berunding," kata Armizan di Dewan Rakyat hari ini semasa penggulungan ucapan bagi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini dilaporkan ahli parlimen pembangkang mesti melalui ketua whip parti untuk memohon peruntukan bagi kawasan mereka.

Armizan juga berkata di Dewan Rakyat hari ini menyatakan harapan agar masalah fiskal negara dapat diselesaikan dalam beberapa bulan akan datang supaya peruntukan dapat disalurkan kepada semua ahli parlimen tanpa mengira perbezaan parti politik.

“Mari kita sama-sama berdoa agar peruntukan ahli parlimen bukan sahaja diberikan tetapi juga ditambah.

“Pra-syaratnya ialah kita perlu memastikan kerajaan stabil. Apabila kerajaan stabil, barulah kita boleh menguruskan kewangan negara dengan lebih baik, barulah peruntukan boleh disalurkan kepada ahli parlimen," katanya.

Dia juga menambah, walaupun ada ahli parlimen belum menerima peruntukan khas daripada perdana menteri, mereka juga boleh memohon peruntukan lain di bawah program sedia ada di semua kementerian.

Mengenai perkara berasingan berhubung pengurusan bencana, Armizan berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah diarah memasukkan semua Ahli Parlimen dan Adun dalam jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah.

“Ini bagi memastikan dalam hal berkaitan kebajikan rakyat dan pengurusan bencana, kita tidak pandang (gabungan atau parti) politik dan sebagainya,” katanya.