Agensi antirasuah harap pindaan Akta Perlindungan Maklumat disegerakan
Agensi antirasuah Transparency International Malaysia (TI-M) dan Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) mengalu-alukan rancangan kerajaan meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan berharap ia akan dilakukan secepat mungkin.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini berkata Putrajaya merancang untuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat tahun ini untuk melindungi pemberi maklumat dengan lebih baik.
Anwar juga berkata Putrajaya merancang untuk membentangkan Akta Perolehan Awam secepat mungkin.
Bagaimanapun, pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tidak memberikan butiran tentang pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat atau garis masa rang undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen.
“Pengumuman bahawa Akta Perlindungan Pemberi Maklumat akan dipinda tahun ini untuk memberi perlindungan yang lebih kuat kepada pemberi maklumat adalah dialu-alukan.
“Memandangkan pemberi maklumat adalah alat yang ampuh untuk memerangi rasuah, semakin lama kita menunggu, semakin teruk rasuah,” kata Presiden TI-M Muhammad Mohan kepada Malaysiakini dalam maklum balas segeranya berhubung pembentangan Belanjawan 2023.
Dia juga mencadangkan beberapa cadangan untuk pindaan akta itu yang diharap akan dipertimbangkan oleh Putrajaya.
Pertama, dia berharap pindaan itu akan membolehkan maklumat dalaman dilindungi di bawah akta itu.
Pada masa ini, akta itu hanya memberi perlindungan kepada pemberi maklumat sekiranya mereka mendedahkan maklumat berkaitan kepada agensi penguatkuasaan.
Kedua, dia mencadangkan pemberi maklumat dilindungi walaupun pendedahan itu akan melanggar mana-mana undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi, Kanun Keseksaan atau mana-mana undang-undang kerahsiaan perbankan.
Akhir sekali, dia berkata, makluman pihak luar seharusnya membenarkan pendedahan yang lebih meluas kepada badan lain seperti NGO dan bukan agensi penguatkuasaan sahaja.
Dia turut memuji rancangan Putrajaya untuk membentangkan Akta Perolehan Awam tahun ini.
Bagaimanapun, dia berharap kerjasama dengan badan pengawasan bebas yang diketuai oleh pertubuhan masyarakat sivil dapat diserapkan ke dalam akta tersebut untuk projek mega tertentu.
“Pemantauan bebas adalah kunci untuk memastikan projek mega disiapkan tepat pada masanya dan mengikut peruntukan, selagi spesifikasi teknikal yang betul dan kontraktor serta vendor yang cekap dilantik.
“Pakatan integriti semasa yang ada ketika ini yang diamalkan dalam perolehan awam tidak mematuhi piawaian antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif C4 Stanley Sudhagaran berkata pembentangan Akta Perolehan Awam dan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat sudah lama tertangguh.
“Kami berharap perkara ini dibentangkan segera tanpa sebarang kelewatan lagi dalam persidangan parlimen pertengahan tahun akan datang.
“Ketiga-tiga kerajaan sebelum ini telah menjanjikan perkara yang sama tetapi gagal membentangkannya. Kami berharap perdana menteri ini akan melaksanakan kata-katanya,” kata Stanley kepada Malaysiakini.
Dua berkata desakan Anwar untuk tender terbuka, serta membatalkan projek yang diberikan melalui tender terus, adalah langkah yang betul.
Bagaimanapun, Stanley menyatakan bahawa C4 kecewa dengan kerana beberapa isu tidak disebutkan dalam ucapan belanjawan Anwar.
Pertama, katanya, ia tidak menyebut tentang pembaharuan SPRM, sedangkan, menurutnya, orang ramai pada masa ini tidak begitu mempercayai suruhanjaya itu.
“Adalah penting perdana menteri memperbaharui suruhanjaya ini termasuk menggantikan pesuruhjayanya melalui proses parlimen dan membuat laporan kepada parlimen.
"Juga terdapat keperluan untuk meningkatkan peruntukan untuk suruhanjaya ini," katanya.
Kedua, katanya, Anwar tidak bercakap tentang mengawal selia pembiayaan politik, yang telah lama disifatkan oleh C4 sebagai ‘ibu kepada segala rasuah’.
Stanley berkata pembiayaan politik adalah isu utama yang perlu ditangani segera kerana terdapat banyak kes yang sedang berjalan di mahkamah, dengan yang terbaru ialah Jana Wibawa, yang semuanya dikaitkan dengan amalan sedemikian.
Akhir sekali, katanya, Pelan Antirasuah Nasional (NACP) tidak disebut dalam ucapan belanjawan Anwar, walaupun ia dijadualkan pada Disember 2023.
“Dalam NACP, terdapat banyak inisiatif yang perlu dilaksanakan termasuk menggubal undang-undang baru, seperti undang-undang ombudsman, undang-undang kebebasan maklumat dan sebagainya.
“Bagaimanapun, tiada sebarang sebutan dibuat mengenai perkara ini yang menimbulkan persoalan, apakah yang telah berlaku kepada NACP yang dijadualkan pada tahun ini?
“Adakah kerajaan ini komited untuk melaksanakan NACP? Jika ya, mengapa tiada peruntukan untuk memastikan ini dilaksanakan menjelang tarikh akhir tahun ini?” soal Stanley.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai