Skip to main
Logo Malaysiakini

MMA puji peningkatan peruntukan kesihatan, kecewa jumlah jawatan baru

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menghargai peningkatan RM3.9 bilion peruntukan untuk Kementerian Kesihatan (KKM) yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 tetapi kecewa dengan jumlah jawatan baru yang akan diwujudkan.

“(Peningkatan peruntukan) menunjukkan kerajaan memahami keperluan komitmen dan pelaburan yang lebih kukuh dalam kesihatan.

“Pelaksanaan adalah penting. Dasar kesihatan adalah mengenai dasar pusat dan pelaksanaan tempatan.

“Bagaimanapun, bilangan jawatan baru – tetap dan kontrak – yang akan diwujudkan tidak mencapai jangkaan kami memandangkan terdapat kekurangan tenaga kerja dan bilangan doktor kontrak yang tinggi dalam sistem,” kata Presiden MMA Dr Muruga Raj Rajathurai dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, MMA sedar bahawa Menteri Kesihatan Zaliha Mustafa telah melobi Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah jawatan tetap.

Dia turut meminta penjelasan lanjut mengenai 1,500 jawatan yang diperuntukkan bagi pegawai perubatan, pegawai pergigian dan ahli farmasi.

Komen Muruga itu dibuat selepas pembentangan Belanjawan 2023 Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat petang tadi.

Presiden MMA itu berkata dia percaya lebih banyak dana perlu disediakan untuk kegunaan kementerian memandangkan pandemik Covid-19 kini terkawal.

Sementara itu, dia berkata Skim Perubatan Madani adalah langkah yang dialu-alukan kerana kerjasama yang lebih erat antara sektor awam dan swasta harus menjadi langkah ke hadapan dalam mengurangkan kesesakan dalam sistem penjagaan kesihatan awam.

“Kami menunggu butiran lanjut dan mengharapkan kelancaran pelaksanaan program ini,” katanya.

Peruntukan untuk membaiki dan menaik taraf kemudahan penjagaan kesihatan awam juga amat dialu-alukan, katanya, tetapi Muruga berharap akan ada ketelusan dalam cara wang itu dibelanjakan untuk tujuan ini serta tindakan susulan bagi memastikan ia dilaksanakan dengan betul.

“Kami berharap akan ada pecahan yang disediakan mengenai peruntukan bagi setiap kemudahan penjagaan kesihatan dan garis masa unjuran untuk siap. Butiran ini harus diletakkan untuk akses awam,” katanya.

Satu lagi perkara yang dipuji oleh Muruga daripada belanjawan itu ialah langkah kerajaan untuk menyalurkan sebahagian daripada hasil daripada duti eksais ke atas cecair dan gel rokok elektronik yang mengandungi nikotin kepada Kementerian Kesihatan.