Skip to main
Logo Malaysiakini

Reezal tanding naib presiden, Shamsul Anuar dan Razlan pertahan MKT

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas ahli Parlimen Kuala Batas Reezal Merican Naina Merican hari ini mengumumkan akan bertanding untuk jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti yang akan berlangsung Mac nanti.

Reezal yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu mengemukakan borang pencalonan bagi merebut jawatan berkenaan di ibu pejabat Umno, hari ini.

"Saya menawarkan khidmat sebagai satu calon yang boleh (bertugas) 24 jam, sebab saya bukan lagi anggota pentadbiran.

"Barangkali dalam tiga itu kalau perwakilan untuk memberi timbangan menjaga parti 24 jam, pertimbangkanlah Reezal Merican," katanya ketika ditemui di ibu pejabat Umno, di Kuala Lumpur, hari ini.

Reezal, 50, berkata dia menjadikan pengalamannya dalam parti sejak berusia 28 tahun sebagai asas untuk bertanding jawatan berkenaan.

Jawatan naib presiden Umno menjadi tumpuan selepas jawatan utama parti presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan dalam pemilihan kali ini.

Sehingga kini, tujuh pemimpin sah menawarkan diri bagi merebut tiga tempat untuk jawatan itu.

Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid sah mempertahankan jawatan yang disandang mereka, sementara Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Agung BN Zambry Kadir, Ahli MKT Johari Ghani dan bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad telah menawarkan diri untuk bertanding.

Ismail Sabri Yaakob

Bagaimanapun seorang lagi penyandang jawatan naib presiden Ismail Sabri Yaakob belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankan jawatan ataupun tidak.

Mengulas lanjut, Reezal berpendapat demokrasi dalam Umno masih subur apabila ramai yang menawarkan diri untuk merebut jawatan, walaupun dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.

"Saya risau kalau ada pemilihan ramai yang tak bertanding, seolah-olah mahu ditinggalkan, tapi (jangkaan) itu meleset.

"Ada bahagian yang (pertandingan) tiga empat penjuru, alhamdulillah ramai nak menggalas amanah jawatan penting dalam parti," katanya.

Shamsul Anuar tak jadi tanding naib presiden

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah menamatkan spekulasi turut merebut jawatan itu apabila dia memutuskan untuk mempertahankan kedudukannya dalam MKT.

"Saya memahami dan menghormati pandangan, permintaan semua pihak. Bagaimanapun setelah membuat pertimbangan mendalam dan sewajarnya saya memutuskan untuk mempertahankan kedudukan saya sebagai ahli MKT Umno.

Shamsul Anuar Nasarah

"Maka dengan rendah diri, saya sekali lagi menawarkan diri dan ingin mempertahankan jawatan sebagai ahli MKT Umno Malaysia bagi sesi 2023-2026," katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Dia juga berikrar akan melakukan apa saja untuk Umno selagi "perjuangan parti tidak lari dari prinsip dan ideologinya".

Dua lagi yang akan mempertahankan kedudukan dalam MKT adalah Setiausaha Politik kepada Ahmad Zahid Hamidi, Razlan Rafii dan Ketua Penerangan Umno Isham Jalil.

"Saya ingin terus bersama kepimpinan tertinggi Umno untuk membantu memperkasakan parti yang memerlukan sokongan di semua peringkat," kata Razlan.

Isham pula berkata dia ingin terus membawa suara akar umbi Umno ke peringkat kepimpinan tertinggi.

"Saya ingin serahkan kepada akar umbi Umno untuk menentukan sama ada saya layak diberi mandat untuk terus berada di dalam MKT," katanya lagi.