CAP: Cukai barang mewah bagus tapi bukan alternatif GST
Langkah memperkenalkan cukai barangan mewah adalah positif namun ia bukan alternatif kepada cukai barangan dan perkhidmatan (GST), menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Mengulas Belanjawan 2023 yang dibentang semalam, Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata sementara pendekatan spesifik akan memberikan kelegaan jangka pendek, langkah lebih signifikan diperlukan bagi mendepani peningkatan kos sara hidup.
"Ia langkah yang baik dan telah diamalkan di beberapa negara.
“Pada tahap tertentu, ia akan menyumbang kepada hasil kerajaan. (Tetapi) ia tak boleh jadi alternatif kepada GST," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
CAP turut mengalu-alukan pertimbangan kerajaan untuk melaksanakan cukai keuntungan modal untuk saham, perkara yang pernah dibangkitkan persatuan itu sebelum ini.
Sementara perincian berkenaan cukai barangan mewah belum dinyatakan, Anwar semalam berkata had nilai tertentu akan ditetapkan mengikut jenis barang tersebut.
Kerajaan juga akan melaksanakan Cukai Keuntungan Modal untuk pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat bermula 2024.
Pada masa sama, Anwar menegaskan kerajaan tiada hasrat untuk mengembalikan semula GST dengan mengambil kira keadaan semasa, di mana inflasi makanan melebihi kadar lima peratus dan masih ramai yang menerima gaji yang rendah.
Mengulas lanjut, Mohideen berkata walaupun subsidi, bantuan serta program seperti Menu Rahmah dan Jualan Rahmah dapat memberikan kelegaan sementara kepada rakyat yang bergelut menyara kehidupan, ia bukan penyelesaian jangka panjang.
Carta dan graf Belanjawan 2023
Belanjawan 2023: Suka atau tidak
Apa anda dapat dalam Belanjawan 2023
Katanya, akar permasalahan adalah kebergantungan negara terhadap bekalan makanan import.
"Kita perlu tangani punca masalah iaitu import makanan.
"Kita perlu melabur dalam pertanian, tingkatkan produktiviti petani, tambah baik pasaran dan hapuskan pencatutan kartel," katanya lagi.
Melindungi pengguna
Berkenaan perlindungan terhadap pengguna, CAP menyuarakan sokongan terhadap Akta Kredit Pengguna.
Persatuan itu yakin akta tersebut, bersama-sama dengan penubuhan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna, akan membantu melindungi hak pengguna.
Persatuan itu juga menyokong rancangan kerajaan untuk melaksanakan Program Agro Penjara, iaitu penglibatan banduan dalam kegiatan pertanian.
Program itu akan membantu mereka menjadi "warga yang produktif, katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai