Skip to main
Logo Malaysiakini

PULASAN | 'Berlapang dada' menerima yang luar biasa

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PULASAN | Benar, tidak ada sesiapa pun manusia waras yang akan membantah hakikat seorang ustaz atau agamawan itu tetaplah dia seorang manusia yang lengkap dengan kelemahannya.

Di sana sini, dia tetap akan melakukan kesilapan dan terlanjur sama ada percakapan, perbuatan atau bisikan hati.

Justeru seorang ustaz - atau sesiapa pun individu yang mempunyai kedudukan dihormati - akan selalu diperhatikan. Kadang-kadang untuk diteladani, justeru mana yang buruk dijadikan sempadan; yang baik dijadikan teladan.

Di khalayak ramai manusia yang dihormati sebegitu mempunyai batas kelakuan yang tersendiri. Misalnya mereka tidaklah boleh ketawa terbahak-bahak sambil menghentak-hentak kaki seperti budak belum baligh hanya kerana berasa terlampau lucu.

Atau menari berjoget di kedai kopi ketika terlalu seronok kerana dilantik menjadi calon pilihan raya.

Sebagai manusia, agamawan tetap berhak mendapatkan apa saja kemudahan dan kesenangan. Mahu berkereta besar dan mewah, misalnya, atau bermotosikal mahal.

Yang menjadi masalah ialah apabila mereka - dengan berjubah, berserban bagai - meneran-neran minyak motosikal berkuasa besarnya di jalan raya sebelum membelok ke halaman masjid yang akan menjadi tempat ceramah mingguannya.

Banyak melawak saja

Suatu ketika dulu agamawan bertaraf apa pun akan tetaplah tunduk dan enggan menonjolkan diri. Namun mungkin kerana mahu membuktikan 'keluasan agama' itu, ada agamawan yang semakin ranggi. Bermotosikal kuasa tinggi itu salah satu contohnya.

Tertumpulah setiap biji mata anak jemaah dan ahli kariah melihat sosok ustaz rugged itu datang mahu berkuliah dengan motor menderam-deram melalui ekzosnya. Terhiburlah hati mereka melihat betapa sportingnya si ustaz.

Sudah memang fitrah manusia sukakan sesuatu yang aneh. Ia semakin menarik apabila disaksikan oleh mata manusia Melayu.

Kemudian perlahan-lahan masyarakat pun melazimkan tindakan seseorang agamawan untuk menjadi rugged, menjadi 'lain daripada yang lain' dan ranggi.

"Yang penting hati, iman dan takwa," kata mereka, sambil mengesat air mata yang keluar kerana terlalu geli hati melihat gelagat ustaz membodohkan orang yang mendengar celotehnya.

Menunjuk-nunjuk, melawak lebih banyak daripada mendidik jemaah, menyanyi-nyanyi tak ketahuan dan perangai lain yang seumpama dengannya itu kemudian diterima dengan ramah oleh masyarakat. Ia kemudian dilazimkan dari satu masjid ke satu masjid, satu surau ke satu surau, satu dewan ke satu dewan.

Semakin galak si agamawan menjadi penghibur, semakin gembira orang ramai dan 'saham' tokoh itu pun semakin naiklah.

Ia kemudian melarat-larat sehinggakan ada yang tergamak bercakap bohong, membuat dakwaan tanpa usul periksa, malah mencarut di dalam masjid tanpa sebarang rasa malu atau sesal sedikit pun!

Kemudian kegilaan kepada media sosial pun datanglah. Berlumba-lumba pula agamawan mengisi media sosial masing-masing dengan pelbagai pengisian. Kebanyakannya memang bermanfaat dan membantu memberi pencerahan.

Namun di sana ada pula yang nampaknya kemaruk perhatian, kemaruk pengikut dan berahi kepada gelaran pempengaruh. Maka diciptalah sekalian kandungan yang dirasakan dapat menyeronokkan orang.

Dengan ketayap di kepala, dengan jubah di badan dan dengan kalimah-kalimah Arab yang pekat, mereka pun beraksi. Sasarannya sudah tentu ada. Kadang-kadang gedik mereka itu mengalahkan artis.

Siapa jadi mangsa

Kalau individu itu penyokong sesebuah parti politik kandungannya sudah tentu menghentam parti musuh. Mereka tidak peduli pun kalau kandungan yang dibuat itu menghina orang lain.

Mempersenda orang yang kurang berkemampuan, misalnya. Ketika agamawan selebriti itu mengaut laba dari pelbagai sumber, mereka barangkali tidak sedar di luar sana ada ramai yang sedang bergelut meneruskan hidup dengan pendapatan yang terhad.

Menu Rahmah pun menjadi mangsa yang mudah untuk dipermain-mainkan.

Tapi itulah, takkan ustaz dan ulama nak menipu, kan?

Perlahan-lahan mereka - yang selama ini dihormati - mengangkat diri masing-masing semakin jauh dari realiti. Ketika beraksi di depan kamera pula keasyikan itu akan menjadi lebih menebal sehingga kadang-kadang lidah akan menjadi lebih pantas bertindak berbanding akal.

Agamawan sebagai agamawan memang mempunyai kedudukan yang istimewa dalam masyarakat. Status itu akan menjadi lebih tinggi jika mereka memiliki kelebihan mengubat orang.

Atau dalam kes tertentu, individu yang mampu 'mengubat orang' akan menjadi lebih mulia dan disegani kalau mereka juga dianggap agamawan.

Sasaran yang termudah ialah golongan yang rentan atau terdesak. Kerana itu kita boleh melihat bagaimana seorang yang digelar ustaz atau ustazah akan mengaitkan syaitan, jin atau jembalang dengan autisme, manakala orang yang mungkin bergelar doktor pula boleh dengan selamba mengaitkan makanan dengan kelainan yang ditakdirkan tersebut.

Apabila ditegur mereka pun dengan sepantas kilat memetik ayat al-Quran atau hadis untuk menjadi sangat warak lagi tawaduk. Matlamat akhirnya sudah tentulah mahu menjadikan diri mereka kononnya sebagai 'mangsa'.

Padahal yang menjadi mangsa sebenar ialah rakyat biasa, orang bawahan. Dan ia bermula dengan kesanggupan kita melazimi kesilapan, keranggian, kelainan, keengganan mengaku salah lalu memohon maaf, dan keangkuhan yang dibawa perlahan-lahan oleh agamawan berkenaan.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang memang tidak pernah memohon untuk mendapatkan tauliah terkait tatanan mengajar agama.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.